Permintaan domestik, eksport pacu pertumbuhan KDNK pada 5.4 peratus tahun ini

Foto hiasan janaan AI/ RTM

KUALA LUMPUR, 19 November – Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus pada 2026, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan serta prestasi eksport yang terus meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan domestik kekal kukuh, disokong penggunaan swasta stabil, pasaran pekerjaan sihat dan peningkatan pendapatan isi rumah.
  • Eksport produk elektrik dan elektronik terus menjadi pemacu pertumbuhan sesuai permintaan global yang masih kukuh.
  • Projek infrastruktur dan pembangunan pusat data merancakkan pembinaan serta menarik pelaburan sektor swasta.
  • Risiko luaran dan domestik termasuk sekatan semikonduktor, kelembapan permintaan global, ketegangan geopolitik, inflasi dan pertumbuhan import boleh membataskan pertumbuhan.

RHB Research berkata, penggunaan swasta dijangka kekal stabil, disokong keadaan pasaran pekerjaan yang sihat serta peningkatan pendapatan isi rumah, sekali gus menyokong perbelanjaan pengguna.

Pada masa sama, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) dijangka terus menjadi pemacu pertumbuhan, sejajar permintaan global yang kekal kukuh terhadap produk berkenaan.

Katanya, sektor maklumat dan komunikasi pula diyakini mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap sambungan digital, pengkomputeran awan dan perkhidmatan berasaskan data.

“Projek infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (E-ART), KL NODE dan LRT3 Fasa 2, selain pembangunan pusat data di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan, dijangka merancakkan aktiviti pembinaan serta menarik pelaburan sektor swasta.

“Perdagangan borong dan runcit dijangka terus berkembang hasil perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, manakala aktiviti berkaitan pelancongan berpotensi menerima rangsangan tambahan daripada kempen Tahun Melawat Malaysia,” katanya dalam satu nota kajian.

Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd berkata, pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh permintaan domestik, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, peningkatan aktiviti pelaburan, projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan serta pertumbuhan berterusan sektor pelancongan.

Katanya, prospek pelaburan turut diperkukuh oleh rancangan membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di seluruh Sarawak dan Semenanjung.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu memberitahu ekonomi Malaysia yang terbuka masih terdedah kepada potensi sekatan sektor tertentu dalam industri semikonduktor, permintaan akhir yang lebih perlahan di ekonomi utama, ketegangan geopolitik yang meningkat serta gangguan perdagangan dan rantaian bekalan yang berpanjangan.

Di peringkat domestik, menurutnya tekanan inflasi boleh menjejaskan kuasa beli isi rumah manakala pertumbuhan import yang berterusan berpotensi mengehadkan sumbangan eksport bersih kepada pertumbuhan ekonomi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.