
KUALA LUMPUR, 19 November – Lambakan bekalan keluli global dan persaingan import terus memberi tekanan kepada margin keuntungan pengeluar tempatan, selain peningkatan kos operasi susulan pelaksanaan cukai karbon.
- Prospek jangka pendek sektor keluli kekal mencabar kerana lebihan kapasiti pengeluaran global dan persaingan serantau yang semakin sengit.
- Ketidaktentuan dasar perdagangan dan perkembangan geopolitik membayangi prospek industri, manakala eksport China terus menekan pengeluar tempatan.
- Permintaan domestik disokong projek infrastruktur, pembinaan tahan lasak, dan pelaburan dalam pembuatan bernilai tinggi serta infrastruktur digital.
- Langkah perlindungan MITI, termasuk semakan import gegelung keluli dari China dan Vietnam, dijangka memberi sedikit kelegaan kepada pengeluar tempatan.
TA Securities berkata, prospek jangka pendek sektor keluli kekal mencabar berikutan lebihan kapasiti pengeluaran global yang berterusan serta persaingan semakin sengit di rantau ini.
Menurut firma penyelidikan itu, ketidaktentuan dasar perdagangan dan perkembangan geopolitik semasa turut membayangi prospek industri, manakala peningkatan eksport keluli China terus memberi tekanan kepada pengeluar tempatan.
“Permintaan domestik dijangka kekal disokong pelaksanaan projek infrastruktur, aktiviti pembinaan yang berdaya tahan serta pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai tinggi dan infrastruktur digital.
“Selain itu, potensi permintaan dari Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam sektor infrastruktur, pembuatan dan pembangunan pusat data, berpotensi membuka peluang eksport terpilih kepada pengeluar keluli Malaysia,” katanya dalam satu nota kajian.
Dalam perkembangan berkaitan, TA Securities berkata, langkah perlindungan perdagangan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berpotensi memberi sedikit kelegaan kepada pengeluar tempatan.
Ia termasuk semakan terhadap import gegelung keluli prasalut dan bersalut warna dari China serta Vietnam pada Julai 2026, selain gegelung keluli dari China pada September 2026.
Langkah berkenaan dijangka membantu membendung persaingan import yang tidak adil, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap pengeluar domestik.