Amalan gaya hidup lestari mampu bantu negara hadapi krisis

Ahli ekonomi Nungsari Ahmad Radzi/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 AprilOrang ramai perlu menjadikan konflik di Asia Barat ketika ini sebagai titik perubahan ke arah amalan serta gaya hidup yang lebih cekap dan berhemat.

Ahli ekonomi, Nungsari Ahmad Radhi menegaskan, konflik yang berterusan itu memberi kesan langsung kepada kenaikan harga minyak mentah dunia sekali gus kos sara hidup turut meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekurangan bekalan dan kenaikan harga minyak serta bahan petrokimia memberi kesan berpanjangan kepada kos sara hidup dan pengeluaran barangan.
  • Langkah kawal penggunaan serta pengurusan rizab perlu dilaksanakan untuk memanjangkan bekalan selepas tempoh dijamin sekarang.
  • Kerjasama rakyat melalui amalan gaya hidup lebih lestari penting bagi membantu negara menghadapi krisis dan kekurangan bekalan.

“Harga yang meningkat merupakan isu utama namun masalah yang lebih besar sehingga mencetuskan krisis ialah kekurangan bekalan itu sendiri. Perdana Menteri telah menyatakan bahawa bekalan sedia ada dijamin stabil dan mencukupi sehingga bulan Mei. Selepas tempoh itu, langkah-langkah perlu difikirkan, termasuk mengawal penggunaan bagi memanjangkan tempoh rizab yang ada.

“Dalam masa yang sama, bahan petrokimia yang diimport juga dijangka berdepan kekurangan sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran plastik, bahan pembungkusan, baja dan lain-lain. Negara dijangka terus berhadapan dengan cabaran ini selagi situasi berkenaan berterusan,” katanya kepada RTM.

Tambahnya, walaupun konflik dijangka berakhir dalam tempoh terdekat, proses pemulihan bekalan global dijangka mengambil masa antara enam hingga lapan bulan.

Sehubungan itu, semua pihak perlu bersedia menghadapi kesan berpanjangan, termasuk peningkatan harga serta kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan bagi barangan tertentu.

Beliau turut menekankan, kerjasama rakyat dalam mengamalkan gaya hidup lebih lestari merupakan antara faktor utama yang dapat membantu negara mengharungi krisis berkenaan.