Latihan kecemasan diperhebat menjelang Piala Dunia

Latihan kecemasan di Stadium MetLife sebagai persediaan menjelang Piala Dunia/ REUTERS

NEW JERSEY, 19 April – Polis Transit New Jersey telah mengadakan latihan kecemasan di MetLife Stadium, East Rutherford, pada Sabtu sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang Piala Dunia FIFA 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 150 petugas kecemasan menjalankan simulasi insiden sistem pengangkutan, bersiap untuk jumlah penonton besar menggunakan kereta api dan bas.
  • Latihan bertujuan memastikan semua agensi bersedia sepenuhnya bagi menjaga keselamatan penumpang dan pengunjung semasa acara besar.
  • Tumpuan pada pengukuhan komunikasi, penggunaan dron serta koordinasi perubatan kecemasan termasuk triage, rawatan dan pemindahan mangsa dengan pantas.

Lebih 150 petugas kecemasan terlibat dalam latihan berkenaan yang dijalankan di Stesen Meadowlands, dengan simulasi insiden berkaitan sistem pengangkutan memandangkan jumlah penonton besar dijangka menggunakan perkhidmatan kereta api dan bas sepanjang kejohanan itu.

Ketua Polis Transit New Jersey merangkap Ketua Pejabat Pengurusan Kecemasan, Christopher Trucillo, berkata latihan itu bertujuan memastikan semua agensi bersedia sepenuhnya untuk menjaga keselamatan penumpang dan pengunjung stadium semasa acara sukan terbesar dunia tersebut.

“Latihan itu juga dijalankan ketika tahap keselamatan global berada pada tahap tinggi, sekali gus menekankan kepentingan penyelarasan antara lebih 100 agensi yang terlibat dalam pengurusan acara besar di Daerah Bergen dan MetLife Stadium.

“Latihan tersebut turut memberi tumpuan kepada pengukuhan komunikasi, penggunaan dron serta penyelarasan pasukan perubatan kecemasan bagi memastikan tindak balas pantas sekiranya berlaku sebarang kejadian,” katanya.

Dengan kurang 60 hari sebelum perlawanan pertama Piala Dunia di stadium berkenaan, beliau berkata terdapat keperluan untuk menguji komunikasi, pelan operasi, pemantauan dron serta tindak balas kecemasan perubatan termasuk keupayaan triage, rawatan dan pemindahan mangsa dengan pantas jika berlaku insiden.- REUTERS