Perintah henti kerja dikeluarkan, DBKL semak semula pembangunan cerun Bukit Kiara

Foto Facebook Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 19 April – Tindakan segera diambil pihak berkuasa termasuk perintah henti kerja serta kompaun terhadap kontraktor terlibat susulan insiden banjir lumpur yang berlaku di Jalan Abang Haji Openg pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • DBKL menyemak semula pembangunan cerun Bukit Kiara dan mengenakan kawal selia lebih ketat terhadap kerja tanah di kawasan tersebut.
  • Operasi pembersihan digerakkan bersama bomba, DBKL dan kontraktor; buka struktur penghadang, baiki perangkap kelodak dan tubuhkan pusat kawalan lokasi.
  • Datuk Bandar arah mesyuarat tergempar untuk menilai semula pelan mitigasi; perkenal garis panduan kerja tanah berfasa dan kawal selia ketat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menerusi hantaran Facebook memaklumkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan segera dan melakukan semakan semula pembangunan cerun di Bukit Kiara.

Perkara itu bagi mengelakkan situasi kecemasan serta risiko yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk berhampiran.

“Antara langkah segera yang dilaksana termasuk menggerakkan operasi pembersihan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, DBKL dan pihak kontraktor. Pasukan bomba turut berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan.

“Langkah lain termasuk membuka struktur penghadang di kawasan terjejas, membaiki perangkap kelodak bagi mengawal aliran air permukaan serta menubuhkan pusat kawalan bagi menyelaras operasi di lokasi,” menurut hantaran itu.

Insiden berkenaan melibatkan projek pejabat Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara, Jabatan Landskap Negara (JLN) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilaksanakan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

Hannah turut memaklumkan bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud telah mengarahkan semua pihak terlibat menghadiri mesyuarat tergempar bagi menilai semula pelan mitigasi serta langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian berulang.

“Semua pihak terlibat untuk menghadiri mesyuarat tergempar esok bagi menilai semula pelan mitigasi dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kontraktor bagi memasti kejadian tidak berulang.

“Beliau juga telah memutuskan semua kerja pembangunan cerun di sekitar Taman Persekutuan Bukit Kiara dikaji semula. Satu garis panduan pembangunan kerja tanah secara berfasa dan terkawal akan diperkenalkan di kawasan tersebut,” tambah hantaran itu.

DBKL juga akan terus memperketat kawal selia kerja tanah di kawasan cerun selain tidak membenarkan kerja berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa kawalan.

Pada masa sama Hannah turut menggesa JKR dan JLN untuk mengambil langkah mitigasi dengan segera bagi mengelakkan kejadian berulang.

“Keselamatan awam mesti menjadi keutamaan dan semua pihak yang bertanggungjawab perlu bertindak dengan segera serta penuh komitmen,” menurut hantaran itu.