Tindakan pantas bomba selamatkan dua wanita dalam kebakaran

Foto FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah

PENDANG, 19 April – Tindakan pantas dua pegawai bomba berjaya menyelamatkan dua wanita termasuk seorang warga emas apabila sebuah gerai makan di medan selera Felda Sungai Tiang, Pendang, Kedah, terbakar.

Kejadian kira-kira pukul 5.15 petang semalam itu disedari pegawai bomba tersebut yang kebetulan sedang menjamu selera di kawasan berhampiran selepas selesai bertugas di Pertandingan Kadet Bomba peringkat negeri Kedah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah mengesahkan, dua pegawai berkenaan merupakan anggota Unit Media JBPM Kedah.

“Difahamkan, ketika kejadian kedua-dua mereka berada di premis berkenaan sambil menikmati makanan dan menyiapkan laporan media berkaitan pertandingan Kadet Bomba peringkat Negeri Kedah.

“Situasi bertukar cemas apabila mereka menyedari api marak dari salah sebuah gerai makanan. Kejadian itu turut menghalang laluan keluar apabila api marak di bahagian hadapan pintu, manakala pintu kabin gerai didapati terkunci dan sukar dibuka, menyebabkan dua mangsa terperangkap dalam keadaan panik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Kedua-dua pegawai bomba berkenaan kemudiannya bertindak melaksanakan operasi menyelamat dengan membantu membawa keluar mangsa ke kawasan selamat.

Api berjaya dipadam dengan menggunakan alat pemadam api yang diperoleh dari kawasan berdekatan.

Kedua-dua wanita itu dilaporkan hanya mengalami luka kecil dan berada dalam keadaan selamat.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada hos gas yang tercabut semasa proses memasak, menyebabkan kebakaran berlaku secara tiba-tiba.