
KUALA LUMPUR, 15 APRIL – PETRONAS mengesahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyaknya di seluruh negara adalah terjamin sehingga akhir Jun 2026, berbanding unjuran terdahulu pada akhir Mei ini.
- PETRONAS terus mengurus rantaian bekalan secara aktif bagi memastikan stok mencukupi di semua stesen susulan krisis tenaga global.
- PETRONAS membekal kira-kira 50 peratus keperluan bahan api negara; selebihnya disediakan oleh syarikat minyak lain.
- Orang ramai digalakkan membeli bahan api berhemah dan mengelakkan pembelian panik atau penyorokan untuk memastikan akses berterusan.
PETRONAS menerusi kenyataan memaklumkan, syarikat itu akan terus menguruskan rantaian bekalan secara aktif bagi memastikan stok mencukupi di semua stesen susulan krisis tenaga global semasa susulan konflik di Asia Barat.
”PETRONAS membekalkan kira-kira 50 peratus keperluan bahan api negara melalui anak syarikat tersenarainya, Petronas Dagangan Berhad, manakala selebihnya disediakan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
”Kami turut menegaskan komitmen untuk memastikan bekalan bahan api yang stabil dan boleh dipercayai kepada seluruh rakyat Malaysia,” menurut syarikat gas dan minyak itu.
Orang ramai juga digalakkan membeli bahan api secara berhemah mengikut keperluan harian serta mengelakkan pembelian panik atau penyorokan.
Penggunaan secara bertanggungjawab akan membantu memastikan akses berterusan untuk semua pengguna.