
KUALA NERUS, 19 April – Qari mewakili Perak, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dan Qariah dari Sarawak Nur Syakura Mohamad Musa dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan Tahun 1447/2026M yang melabuhkan tirai malam tadi.
- Pemenang menerima wang tunai RM20,000 dan tambahan RM10,000 insentif menunaikan haji, beserta piala, sijil dan hadiah iringan.
- Selangor dinamakan johan keseluruhan bagi edisi Tilawah dan Hafazan Al-Quran kali ini.
- Majlis penutup disempurnakan Pemangku Raja Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, dihadiri menteri dan Menteri Besar Terengganu.
Bagi kategori tilawah bahagian lelaki, Cik Hasnul Taqiyuddin memperoleh markah 92.34 yang membawa pulang wang tunai RM20,000, berserta tambahan RM10,000 sebagai insentif menunaikan ibadah haji, selain piala, sijil dan hadiah iringan.
“Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke pentas kebangsaan. Saya anggap peluang ini sebagai rezeki daripada Allah SWT. Insya-Allah, dengan kejayaan ini, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik di pentas antarabangsa nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas dinobatkan sebagai johan.
Naib johan pula menjadi milik wakil Johor, Muhammad Saleem Noor Muhamad dengan 92.16 markah. Manakala tempat ketiga diraih peserta tuan rumah Abdul Hadi Che Halim dengan 91.82 markah.
Sementara itu, bagi kategori wanita, Nur Syakura Mohamad Musa mencatatkan markah 92.50 yang membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta tambahan RM10,000 sebagai insentif menunaikan ibadah haji, selain piala dan sijil penghargaan.
“Saya mengambil semangat dan nasihat daripada guru-guru untuk terus berusaha. Namun, yang paling utama adalah meletakkan Allah SWT di hadapan dalam setiap usaha. Kejayaan ini bukan sahaja milik saya, tetapi juga hasil sokongan guru-guru dan seluruh kontinjen Sarawak,” katanya.
Tempat kedua dimenangi Nor Ruzana Natiah Jaafar dari Selangor dengan markah 91.34, diikuti peserta tuan rumah (Terengganu), Nor Jannah Abd Rahman di tempat ketiga dengan markah 90.99.
Dalam pada itu, Selangor Darul Ehsan dinobatkan sebagai johan keseluruhan bagi edisi kali ini. Bagi kategori hafazan al-Quran pula, bahagian lelaki dimenangi oleh Muhammad Izzul Afnan Sazali dari Wilayah Persekutuan, dan Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam dari Melaka menjadi johan bahagian perempuan.
Bagi kategori hafazan juzuk 1-20 bahagian lelaki, johan disandang Wan Syimir Muhaimin Wan Ahmad Sadaba dari Pahang, manakala Nur Izzati Norazmi dari Selangor merangkul gelaran johan bahagian perempuan.
Selain itu, johan kategori hafazan juzuk 1-10 bahagian lelaki menjadi milik Muhammad Amnan Muhammad Sani dari Sabah, sementara Siti Sofiyyah Abu Bakar dari Kelantan johan bahagian perempuan.
Majlis penutup dan pengurniaan hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran kali ini disempurnakan Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail di Stadium Tertutup Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Turut berangkat, Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama Dr. Zulkifli Hasan dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.