
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM500,000 bagi membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat kebakaran di Kudat dan Sandakan, Sabah, pada April lalu.
- Sumbangan disalurkan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dan diserahkan dalam Majlis di Istana Negara.
- Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.
- Kebakaran Sandakan (19 April) musnahkan 1,050 rumah, 914 Ketua Isi Rumah terjejas; di Kudat (16 April) lapan rumah, 67 penduduk terjejas.
Sumbangan peribadi Seri Paduka Baginda itu disalurkan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan Majlis Pengurniaan Sumbangan berlangsung di Istana Negara, di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.
Penerima bantuan menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Seri Paduka Baginda yang disifatkan sebagai suntikan semangat untuk mereka meneruskan kehidupan selepas dilanda musibah.
Kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan pada 19 April lalu membabitkan kemusnahan berskala besar apabila 1,050 daripada keseluruhan 1,200 rumah terbakar.
Selain itu, sekurang-kurangnya 914 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas akibat kejadian berkenaan.
Dalam kejadian di Kampung Gumpa, Kudat pada 16 April 2026 pula, sebanyak lapan rumah musnah, sekali gus menjejaskan 67 penduduk daripada 18 KIR.