Sultan Ibrahim kurnia BYDPA kepada 14 penerima cemerlang

Majlis Penganugerahan BYDPA Tahun 2026 berlangsung di Istana Negara, di sini, hari ini. / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2026 kepada 14 penerima cemerlang bagi melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dan Sarjana (Penyelidikan).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh penerima akan mengikuti pengajian peringkat Ph.D dan tujuh pada peringkat Sarjana Penyelidikan.
  • Empat penerima melanjutkan pengajian di universiti luar negara manakala 10 di universiti penyelidikan tempatan.
  • Penerima menzahirkan rasa syukur dan menganggap biasiswa sebagai amanah untuk belajar bersungguh dan berkhidmat kepada negara.
  • Biasiswa memberi penekanan kepada bidang STEM termasuk AI; JPA memantau prestasi penerima agar mereka kembali menyumbang kepada pembangunan negara.

Majlis Penganugerahan BYDPA Tahun 2026 berlangsung di Istana Negara, di sini, hari ini.

Tujuh daripada keseluruhan 14 penerima akan mengikuti pengajian pada peringkat Ph.D, manakala tujuh lagi pada peringkat Sarjana (Penyelidikan).

Empat penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka luar negara, sementara 10 lagi meneruskan pengajian di universiti penyelidikan tempatan.

Bagi salah seorang penerima peringkat Ph.D dalam bidang Matematik dan Statistik, Chua Hui Qi, penganugerahan biasiswa itu adalah amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.

Penyelidikannya memberi tumpuan kepada isu banjir di Malaysia menggunakan kaedah statistik dan data sedia ada daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Saya melihat biasiswa ini sebagai satu amanah yang besar. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan berkhidmat untuk negara.

“Saya berharap hasil penyelidikan ini dapat membantu kerajaan dalam menangani isu banjir yang memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.

Penerima BYDPA peringkat Sarjana (Penyelidikan) dalam bidang persekitaran, Kapten Bersekutu (PA) Ir. Ts. Muhammad Zulhusni Che Razali pula menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan diberikan dan bertekad memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin demi kepentingan negara.

“Saya akan buat yang terbaik semampu saya dan menggunakan amanah ini sebaik mungkin untuk memastikan saya dapat menyumbang kepada negara Malaysia yang tercinta,” katanya.

Hadir sama pada Majlis Penganugerahan BYDPA Tahun 2026 itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Jelasnya, kebanyakan penerima tahun ini mengikuti pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) termasuk berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) sejajar dengan keperluan negara untuk melahirkan tenaga pakar masa hadapan.

“Kita berharap pelajar-pelajar tajaan kita ini apabila kembali nanti akan berkhidmat dengan negara mengikut bidang masing-masing.

“Kebanyakan bidang yang ditawarkan adalah dalam STEM yang amat diperlukan bagi pembangunan negara,” katanya.

JPA juga akan terus memantau prestasi penerima sepanjang tempoh pengajian bagi memastikan mereka menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan sebelum kembali menyumbangkan kepakaran kepada negara.

BYDPA atau King’s Scholarship adalah biasiswa paling berprestij di bawah JPA yang diperkenalkan pada 2006 bagi menaja warganegara Malaysia yang cemerlang dalam akademik.

Pemilihan penerima turut mengambil kira penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan kemasyarakatan, selain penghasilan karya yang mempunyai unsur kreativiti serta inovasi.

Sejak diperkenalkan, seramai 239 warganegara Malaysia menerima penajaan BYDPA, membabitkan 124 penerima pada peringkat Ph.D dan 115 penerima pada peringkat Sarjana (Penyelidikan).

Penajaan itu meliputi bidang strategik dan kritikal negara, antaranya STEM, Ekonomi, Undang-Undang, Kewangan Islam dan AI.

Tumpuan terhadap bidang berkenaan bertujuan membangunkan kepakaran tempatan dalam sektor berimpak tinggi yang dijangka menjadi pemacu kemajuan negara pada masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.