
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Lebih RM1.628 bilion diperuntukkan Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Bekalan Air bagi melaksanakan pelbagai projek strategik untuk memperkukuh kapasiti sumber air mentah dan sistem bekalan air di Johor.
- Projek infrastruktur dijangka siap secara berperingkat pada 2027, menambah kapasiti bekalan air sebanyak 1,337 juta liter sehari.
- Usaha penting memastikan bekalan air di Johor mencukupi untuk keperluan rakyat dan sektor industri termasuk pusat data.
- Antara projek strategik ialah pembangunan empangan, Takungan Air Pinggiran Sungai TAPS, baraj serta infrastruktur penyaluran air mentah.
- Empat projek Loji Rawatan Air di bawah pembiayaan PAAB sedang dilaksanakan untuk memperkukuh kapasiti bekalan air terawat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek infrastruktur yang dijadualkan siap secara berperingkat pada 2027 itu dijangka menambah kapasiti bekalan air sebanyak 1,337 juta liter sehari.
Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan bekalan air di Johor kekal mencukupi untuk menampung keperluan rakyat dan sektor industri termasuk pusat data.
Antara projek strategik yang dilaksanakan dan dicadangkan ialah pembangunan empangan, Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), baraj serta infrastruktur penyaluran air mentah.
“Kerajaan bersama operator air negeri turut meneliti keperluan meningkatkan kapasiti sistem bekalan dan loji rawatan air secara berperingkat berdasarkan unjuran permintaan semasa serta masa hadapan.
“Langkah ini bagi memastikan bekalan air terawat yang mencukupi dapat disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Pada masa sama, sebanyak empat projek pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kapasiti bekalan air terawat di Johor.
Selain menambah sumber air mentah dan kapasiti rawatan, kerajaan turut menggalakkan penggunaan air pulih guna serta teknologi cekap air dalam operasi pusat data.
Langkah itu bertujuan mengurangkan kebergantungan sektor berkenaan terhadap bekalan air terawat, sekali gus membantu menjamin kelestarian sumber air negara.