SKDS: Syarikat boleh tuntut bayaran balik diesel mulai 1 Julai jika belum terima kad fleet


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Jun – Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di Sabah, Sarawak serta Labuan yang layak menerima manfaat Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) tetapi belum menerima kad fleet, boleh memohon tuntutan bayaran balik tunai pembelian diesel mulai 1 Julai 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syarikat layak boleh tuntut bayaran balik tunai pembelian diesel sementara menunggu penerimaan kad fleet.
  • Mesti mengemukakan bukti pendaftaran SKDS dan permohonan kad fleet dibuat pada atau sebelum 30 Jun 2026.
  • Permohonan melalui portal MySubsidi; semua tuntutan perlu disokong resit pembelian diesel yang dimuat naik.
  • Bayaran balik akan dikreditkan ke akaun bank syarikat dalam tempoh 15 hari bekerja selepas semakan pentadbir SKDS.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kemudahan itu disediakan sejajar pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di seluruh negara mulai tarikh berkenaan.

“Kerajaan mengambil maklum proses pengeluaran dan penghantaran kad fleet syarikat minyak lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu, bergantung kepada proses semakan serta pengurusan dalaman syarikat masing-masing.

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju membuka ruang bagi permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah SKDS mulai 1 Julai 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya kemudahan itu membolehkan syarikat yang layak menuntut perbezaan antara harga runcit diesel tanpa subsidi dengan harga diesel bersubsidi SKDS sementara menunggu kad fleet diterima.

Syarikat perlu mengemukakan bukti bahawa pendaftaran di bawah SKDS dan permohonan kad fleet dibuat sebelum atau pada 30 Jun 2026.

“Pembayaran balik tunai ini adalah bagi tempoh pembelian diesel bermula 1 Julai hingga 31 Julai 2026 atau sehingga tarikh kad fleet diterima oleh syarikat pengangkutan, yang mana lebih awal,” katanya.

Permohonan tuntutan boleh dibuat menerusi portal MySubsidi manakala semua tuntutan wajib disokong dengan resit pembelian diesel yang dimuat naik melalui portal berkenaan.

Pembayaran balik tunai akan dikreditkan Kementerian Kewangan ke dalam akaun bank syarikat dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai dilaksanakan pentadbir SKDS di KPDN.

Penggunaan kad fleet SKDS diwajibkan bagi membolehkan sektor pengangkutan darat awam dan barangan yang layak terus menikmati diesel bersubsidi.

Melalui mekanisme berkenaan, harga diesel bersubsidi ditetapkan pada RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter untuk sektor pengangkutan darat barangan.

Pendaftaran untuk mendapatkan manfaat subsidi diesel di bawah SKDS membabitkan dua proses, iaitu pendaftaran menerusi portal MySubsidi dan permohonan kad fleet daripada syarikat minyak pilihan.

Permohonan yang lengkap serta memenuhi syarat akan menerima surat kelulusan serta-merta, yang kemudiannya perlu digunakan untuk memohon kad fleet.

Pendaftaran SKDS bagi sektor pengangkutan darat awam di Sabah, Sarawak dan Labuan dibuka sejak 10 Jun 2024, manakala peluasan kepada sektor pengangkutan darat barangan bermula 4 Mei 2026.

Sehingga 22 Jun 2026, sebanyak 8,445 syarikat membabitkan 30,557 kenderaan sudah berdaftar di bawah sistem berkenaan.

Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 4,062 syarikat dengan 14,750 kenderaan, diikuti Sarawak sebanyak 4,108 syarikat membabitkan 15,030 kenderaan dan Labuan dengan 275 syarikat serta 777 kenderaan.

Semua syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak di ketiga-tiga kawasan berkenaan digesa segera mendaftar di bawah SKDS dan mengemukakan permohonan kad flee

“Pendaftaran yang dibuat lebih awal akan membantu mempercepatkan proses pengeluaran kad fleet, sekali gus memastikan syarikat dapat terus menikmati diesel bersubsidi,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.