fb fb fb fb fb

Waris Nur Arfiqah terima faedah PERKESO

Foto hiasan/BERNAMA

PERAK, 9 Julai -Waris kepada Allahyarham Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23 tahun yang terkorban dalam kemalangan di Jerantut, Pahang pada 7 Jun lalu menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Timbalan Pengarah PERKESO Negeri, Khairul Mizan Md Said berkata, semakan mendapati Nur Arfiqah merupakan pencarum aktif dan memenuhi syarat kelayakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Menurut bapa mangsa, Aziz Jaafar Yusof, 50 tahun, menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3000 sebagai bantuan urusan pengebumian.

Selain itu, Zaini Noh (ibu), 53 tahun dan Nur Farisya Ayuni (adik), 12 tahun turut layak menerima Pencen Penakat secara bulanan.

"Kami juga sedang memproses bayaran pencen penakat. Hasil semakan mendapati bahawa selain ibu bapa, arwah turut meninggalkan seorang adik berusia 17 tahun. Oleh itu, pencen penakat akan dibayar kepada ibu bapa dan adiknya sehingga adik tersebut mencapai umur 21 tahun." katanya.

Sementara itu, kehilangan Nor Afiqah masih dirasai oleh keluarga, terutama ibunya.

"Sudah sebulan berlalu, namun terasa seperti dia masih ada. Adiknya juga masih teringat, mungkin kerana mereka sangat rapat dan banyak melakukan aktiviti bersama." katanya.

Allahyarham Nur Arfiqah terlibat dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan menyambut Aidiladha bersama keluarga yang turut meragut nyawa suami dan tiga adik-beradiknya.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN