
PASIR MAS, 26 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung penahanan seorang lelaki warga Malaysia bersama kekasihnya yang didakwa terlibat dengan pengedaran cecair dadah menggunakan peranti elektronik (vape).
- Seorang lelaki Malaysia dan teman wanitanya ditahan di Medan selepas ditemui 29 unit vape dipercayai mengandungi cecair dadah.
- Seorang pegawai penyiasat narkotik di Kuala Krai digantung tugas sementara untuk membolehkan siasatan salah laku dijalankan secara telus.
- Polis melancarkan siasatan awal dan mengambil keterangan beberapa pihak termasuk pengadu di Negeri Sembilan untuk melengkapkan siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memberi jaminan bahawa sebarang perkembangan baharu berhubung kes berkenaan akan dimaklumkan kepada media sebaik sahaja maklumat lanjut diterima kelak.
“Setakat ini masih belum menerima laporan penuh, jadi saya akan menunggu daripada pihak perkuasa Indonesia.
“Saya pastikan, sekiranya ada perkembangan terbaharu berkenaan perkara itu akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pengkalan Haram Lubok Gong, Rantau Panjang, di sini.
Kenyataan itu menyusul laporan media tempatan mengenai penahanan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun bersama teman wanitanya yang merupakan warga Indonesia di Medan, minggu lalu.
Menurut laporan media Indonesia, Antara News, pasangan berkenaan ditangkap susulan penemuan 29 unit vape yang dipercayai mengandungi cecair dadah semasa pemeriksaan dibuat oleh pihak berkuasa negara berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Tan Sri Mohd Khalid mengesahkan seorang pegawai penyiasat (IO) dari bahagian narkotik di Kuala Krai, Kelantan telah digantung tugas bagi membolehkan siasatan telus berhubung dakwaan salah laku dijalankan.
Langkah berkenaan diambil bagi memastikan proses siasatan terhadap pegawai terbabit dapat dilaksanakan secara menyeluruh, teliti dan sempurna.
“Saya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang.
“Kita telah mengambil tindakan dengan menggantung sementara penugasan beliau supaya siasatan dapat dilakukan dengan baik dan sempurna,” katanya lagi.
Pihak polis telah melancarkan siasatan awal termasuk mengambil keterangan daripada beberapa pihak yang berkaitan bagi membantu proses berkenaan.
Dalam pada itu, PDRM turut dalam usaha untuk mengambil keterangan daripada pihak pengadu yang kini berada di Negeri Sembilan bagi melengkapkan siasatan kes.