
PUTRAJAYA, 26 Ogos – Kementerian Luar Negeri sedang berusaha mengesan 11 rakyat Malaysia yang terputus hubungan dipercayai berada di daerah Rasuwa, susulan kejadian banjir besar di Nepal.
- Kedutaan sedang menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan serta pasukan mencari dan menyelamat kerajaan Nepal untuk mengesan rakyat Malaysia dan memastikan keselamatan mereka.
- Gangguan teruk kepada rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik dipercayai punca terputus hubungan.
- Wisma Putra menasihatkan warga Malaysia di kawasan terjejas supaya berwaspada, utamakan keselamatan dan patuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
- Hubungi Kedutaan Malaysia di Kathmandu untuk bantuan konsular melalui talian dan e-mel yang disediakan.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerima laporan daripada agensi-agensi pelancongan yang menyatakan bahawa mereka terputus hubungan dengan 11 rakyat Malaysia tersebut.
“Mereka dipercayai terputus hubungan berpunca daripada gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik akibat bencana berkenaan.
“Pihak kedutaan sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan serta pasukan mencari dan menyelamat yang kini dikerahkan kerajaan Nepal bagi mengesan rakyat Malaysia yang terjejas dan memastikan keselamatan mereka,” menurut kementerian itu dalam kenyataan media pada Rabu.
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melakukan perjalanan di Nepal, khususnya mereka yang berada berhampiran kawasan terjejas, supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi sepenuhnya semua arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Kementerian itu turut menggesa rakyat Malaysia mendaftar serta mengemas kini maklumat hubungan mereka secara berkala menerusi portal e-Konsular.
Bagi mendapatkan bantuan konsular atau ketika kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Kathmandu menerusi talian +977 1 544 5680 / +977 1 544 5681 (am), +977 1 544 5689 (konsular) atau talian kecemasan +977 980 100 8000.
Mereka juga boleh menghubungi kedutaan menerusi e-mel mwkathmandu@kln.gov.my.
Kementerian Luar memaklumkan, pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan kejadian itu dan akan berkongsi maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Menurut laporan media, banjir kilat besar melanda kawasan Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa, utara Nepal, pada pagi Rabu, mengakibatkan kerosakan fasiliti dan infrastruktur awam serta kawasan petempatan penduduk.