
GEORGE TOWN, 26 Ogos – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima dana Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 yang tidak dituntut sebanyak RM200,000 untuk melaksanakan program advokasi keganasan rumah tangga.
- KPWKM akan memanfaatkan dana itu sepenuhnya untuk memperkasakan program kebajikan di bawah jabatan.
- Kementerian Kewangan (MOF) menyalurkan peruntukan yang asalnya tidak dituntut untuk tujuan kebajikan.
- Dana tersebut disasarkan untuk program advokasi yang menumpukan isu keganasan rumah tangga.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, dana berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan program kebajikan bawah jabatan itu.
“Dana ini merupakan peruntukan yang telah disalurkan Kementerian Kewangan (MOF) namun ia tidak dituntut dan masih mempunyai baki.
“Jadi MOF telah menyalurkan dana ini untuk tujuan kebajikan. Kali ini KPWKM menerima dana tersebut berjumlah RM200,000.
“Dana ini akan digunakan untuk program advokasi yang memfokuskan kepada isu keganasan rumah tangga,” katanya ketika hadir pada Program ‘Wonderful Life’ di sini hari ini.