
SINTOK, 15 September – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kemasukan seramai 4,982 pelajar baharu daripada pelajar tempatan dan antarabangsa yang mengikuti 47 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi akademik 2026/2027.
- Kemasukan pelajar tempatan: 4,413 melalui UPU, 246 lepasan Asasi Pengurusan UUM dan dua pelajar Inbound Mobiliti Tempatan.
- Kemasukan pelajar antarabangsa melibatkan 211 pelajar, termasuk dari Amerika Syarikat, Kanada dan Perancis, tunjuk pengiktirafan antarabangsa.
- Program teratas mengikut kemasukan: Perakaunan (446), Sains Ekonomi (259) dan Pentadbiran Perniagaan (251).
- UUM menerima sembilan pelajar OKU, lapan Orang Asli; 96 pelajar B40 menerima bantuan melalui Yuran Kebajikan dan TH-IQRA.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed memaklumkan kemasukan pelajar tempatan menyaksikan seramai 4,413 orang menerima tawaran melalui UPU, manakala 246 lagi merupakan lepasan Asasi Pengurusan UUM dan dua pelajar Inbound Mobiliti Tempatan.
“Kemasukan sesi akademik ini juga menyaksikan kehadiran pelajar dari Amerika Syarikat (USA), Kanada dan Perancis yang memperlihatkan kualiti pendidikan UUM diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Bagi pelajar antarabangsa, UUM menerima seramai 211 pelajar peringkat Sarjana Muda melibatkan pelbagai negara.
“Dari segi program pengajian pula, Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian mencatatkan jumlah kemasukan tertinggi iaitu seramai 446 pelajar, diikuti Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan Kepujian seramai 259 orang dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian seramai 251 pelajar,”katanya.
Beliau turut memaklumkan, seperti tahun-tahun sebelumnya, UUM turut memberi peluang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang apabila menerima sembilan
pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) daripada pelbagai kategori serta lapan pelajar Orang Asli.
Dalam pada itu, UUM turut memberikan perhatian pada kebajikan pelajar keluarga berpendapatan rendah (B40) yang berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian.
Untuk tahun ini, 96 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan yang disalurkan menggunakan dana Yuran Kebajikan serta sumbangan TH-IQRA di bawah kelolaan Pusat Zakat dan Wakaf UUM.
“Secara keseluruhan, sehingga 30 Ogos lepas, jumlah keseluruhan pelajar UUM adalah seramai 29,030 orang, merangkumi 25,421 pelajar peringkat Sarjana Muda dan 3,609 pelajar pascasiswazah,”katanya.