
KUCHING, 15 September – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan Warkah Persilaan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi menghadiri sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, esok.
- Datuk Seri Fahmi mengadakan kunjungan hormat ke atas Tun Dr. Wan Junaidi di Astana untuk memaklumkan perkembangan persiapan sambutan.
- Persiapan sambutan berjalan lancar, dengan beberapa aspek teknikal sedang diperkemas menjelang acara.
- Sambutan menampilkan veteran polis dan tentera untuk menyemarakkan semangat patriotik, berkait dengan latar belakang Tun Dr. Wan Junaidi.
Warkah itu disampaikan ketika Datuk Seri Fahmi mengadakan kunjungan hormat ke atas Tun Dr. Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak yang turut menjadi ruang untuk memaklumkan perkembangan terkini persiapan sambutan berkenaan.
Menurut Datuk Seri Fahmi, persiapan berjalan lancar dengan beberapa aspek teknikal kini sedang diperkemas menjelang acara yang dijadual berlangsung dari pukul 8.15 malam hingga kira-kira 10.30 malam.
Beliau berkata, sambutan kali ini turut bakal menampilkan pengisian berkaitan pengalaman veteran polis dan tentera yang bertujuan menyemarakkan semangat patriotik.
Pengisian itu menjadi lebih istimewa apabila turut mempunyai kaitan dengan latar belakang Tun Dr. Wan Junaidi yang pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sebab itu, kita akan melibatkan beberapa veteran polis dan tentera untuk berkongsi pengalaman masing-masing dalam memperjuangkan kedaulatan tanah air,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat berkenaan.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri bertanggungjawab bagi Sambutan Hari Malaysia 2026, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Kira-kira 5,000 orang dijangka memeriahkan Sambutan Hari Malaysia 2026 di BCCK yang turut dijadual dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.