UUM jana ekonomi Komuniti ATM menerusi projek RM570,000

FOTO UUM

SINTOK, 15 April – Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan empat projek pemerkasaan ekonomi komuniti di bawah Program Ekonomi Madani melibatkan peruntukan geran berjumlah RM570,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama strategik UUM, KPT dan KEMENTAH terjemah penyelidikan universiti kepada manfaat ekonomi untuk warga ATM dan Bakat.
  • Projek dilaksanakan termasuk Madu Kelulut, fertigasi sayuran, akuaponik tilapia dan produk retort di beberapa kem ATM.
  • Inisiatif tingkatkan kemahiran, jana pendapatan sampingan dan perkukuh institusi keluarga bagi warga ATM, selaras aspirasi pembangunan modal insan.
  • Majlis penyerahan geran dan pelancaran melibatkan pemimpin UUM dan pegawai ATM, simbol komitmen inklusif untuk impak mampan.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) bagi memastikan universiti berperanan sebagai ejen perubahan kepada masyarakat.

Beliau menjelaskan, kolaborasi itu membolehkan hasil penyelidikan dan ilmu dari menara gading diterjemahkan kepada manfaat ekonomi sebenar, khususnya buat warga ATM serta Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat).

“Pada tahun ini, UUM telah dilantik oleh KPT untuk melaksanakan empat daripada 52 projek di empat kem ATM yang melibatkan Projek Madu Kelulut berjumlah RM140,000 di Kem Bukit Kayu Hitam, selain Projek Fertigasi Sayuran (RM330,000) di Kem Sungai Petani dan Kem Pengkalan Hulu.

“Turut dilaksanakan adalah Projek Akuaponik Talapia dan Produk Retort (RM100,000) di Kem TLDM Lumut. Kerjasama ini amat signifikan dalam membantu warga ATM menjana pendapatan sampingan dan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. Inilah manifestasi sebenar ‘Ilmu Budi Bakti’,” katanya demikian pada Majlis Penyerahan Geran dan Pelancaran Pelaksanaan Projek Komuniti Kem ATM 2025 di EDC-UUM, di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Memerintah Depot Bekalan Armada Barat Pengkalan TLDM Lumut, Kapten Syanaz Ibrahim menyifatkan program berkenaan sebagai pemacu dalam merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dan pelaksanaan di lapangan.

“Program ini membuka ruang kepada warga ATM untuk meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan dan memperkukuhkan institusi keluarga, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan negara”, ujarnya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam pula menegaskan bahawa inisiatif tersebut sebagai simbol kepercayaan dan komitmen pelbagai pihak dalam membangunkan komuniti secara inklusif.

“Pelaksanaan inisiatif ini sekali gus memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi tidak terhenti di menara gading, sebaliknya dimanfaatkan secara langsung demi kesejahteraan rakyat”, ujarnya.

Beliau optimis program kolaboratif yang turut melibatkan beberapa universiti awam lain itu akan memberi impak mampan dan berterusan kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan melalui pendekatan inklusif.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan simbolik projek kepada ketua penyelidik dan wakil kem terlibat dengan dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad serta pegawai-pegawai kanan ATM.