
KUALA LUMPUR, 15 April – Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bermula hari ini melibatkan lebih 200,000 penjawat awam membuktikan keprihatinan kerajaan mendepani cabaran kos sara hidup dan kesejahteraan membabitkan pekerja.
- Meningkatkan kesihatan mental dan emosi penjawat awam ketika menghadapi tekanan
- Mengurangkan beban kos bahan api dan membantu pengurusan kewangan peribadi
- Memberi fleksibiliti masa, jimat kos perjalanan, sambil merekod kehadiran secara digital melalui SPOT-me
- Disarankan pelaksanaan hibrid meluas untuk terus bantu berjimat semasa krisis ekonomi global
Seorang penjawat awam, Azlina Zainal menyifatkan pelaksanaan BDR sebagai satu langkah yang memberi manfaat kepada rakyat terutamanya dalam menjaga kesihatan mental dan emosi ketika berdepan tekanan semasa.
Jelasnya, peningkatan kos bahan api yang ditanggung individu membebankan sekiranya kuota bulanan 200 liter habis digunakan.
Situasi itu bukan sahaja boleh menjejaskan bajet bulanan malah memberi kesan mendalam terhadap pengurusan kewangan individu.
“Saya melihat ini adalah langkah yang paling sesuai diambil oleh kerajaan dalam memastikan kesihatan mental dan emosi rakyat sentiasa berada pada paras normal,” katanya.
Beliau turut berpandangan, dalam keadaan isu global yang memberi kesan kepada ekonomi dan kewangan rakyat, pelaksanaan BDR mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, seorang lagi penjawat awam, Mohd Khairul Izhar Jasmani melihat BDR bukan sahaja menjimatkan ‘belanja poket’ malah inisiatif ini secara tidak langsung membantu dalam pengurusan masa dengan lebih baik.
“Saya yang hari-hari berulang-alik dari Seremban ke pejabat di Putrajaya memang menyambut baik langkah BDR ini terutama dari segi pengurusan masa yang fleksibel.
Secara tidak langsung tugasan berkaitan pejabat masih dapat dilakukan di rumah dengan pemerhatian menerusi Sistem Pemantauan Operasi Tugas atau SPOT-me bagi merekodkan kehadiran penjawat awam secara digital dipraktikkan,” katanya.
Sementara itu, pekerja sektor swasta, Nur Maisyara Mazli menyifatkan pelaksanaan tersebut sebagai usaha yang sangat wajar tatkala krisis ekonomi global berlaku.
“Dalam keadaan ekonomi Malaysia sekarang, perkara ini dapat bantu rakyat untuk berjimat cermat dan mengurangkan penggunaan bekalan bahan api di Malaysia,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar pelaksanaan BDR dilakukan secara meluas dan berterusan, namun dengan pendekatan hibrid yang menggabungkan kerja dari rumah dan kehadiran ke pejabat.