Enam termasuk bayi maut, SUV bertembung lori

Foto Ihsan Bomba

SUNGAI PETANI, 7 Jun – Enam termasuk seorang bayi berusia enam bulan maut, manakala seorang kanak-kanak cedera parah selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian berlaku di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah.
  • Bomba Tikam Batu menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.46 petang.
  • Nahas membabitkan sebuah SUV Proton X50 dan sebuah lori tanah 10 tan.
  • Siasatan awal mendapati kereta memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori.

Nahas dipercayai membabitkan sebuah keluarga itu berlaku di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Fauzi Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.46 petang.

Katanya, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dan sebuah lori tanah 10 tan.

“Siasatan awal mendapati, nahas dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki kesemua mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori.

“Enam mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun cedera parah dan dibawa ke hospital berdekatan,” katanya.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 27, Jamaliah Sannusi, 27, Nora Mhd Husin, 55 dan Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang bayi berusia enam bulan juga maut.

Mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Aulia Sofea Ahmad Shafiq berusia tiga tahun.

Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Rakaman video kemalangan berkenaan tular di media sosial.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.