Bantuan diselaras buat penduduk terjejas di Felda Lubuk Merbau

Keadaan rumah di Felda Lubuk Merbau akibat ribut

PADANG TERAP, 15 April – Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang melakukan siasatan dan bancian awal bagi mengenal pasti anggaran kerosakan dan bantuan susulan yang bersesuaian untuk disalurkan kepada penduduk terjejas ribut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribut melanda Felda Lubuk Merbau Isnin sekitar pukul 4.00 petang disertai hujan lebat dan angin kencang.
  • Angin menerbangkan bumbung 181 rumah dan premis perniagaan beberapa meter; sebahagian mengalami kerosakan teruk.
  • Penduduk rugi termasuk kerosakan dinding, perabot dan peralatan elektrik rosak akibat hujan.
  • Datuk Zepri Saad melawat dan menyampaikan sumbangan ihsan di Dewan Felda Lubuk Merbau; seorang pesara tentera cedera.

Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Zepri Saad berkata, ia susulan kejadian ribut yang melanda Felda Lubuk Merbau dan kawasan sekitar di Padang Terap, Kedah, Isnin lalu hingga menyebabkan hampir 200 rumah rosak.

“Pegawai ICU Kedah bersama pasukan teknikal sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti jumlah sebenar rumah yang terlibat dan kerosakan yang dialami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan ihsan kepada penduduk terjejas ribut di Dewan Felda Lubuk Merbau, Padang Terap, pada Selasa.

Dalam kejadian pukul 4.00 petang Isnin lalu, hujan lebat beserta angin kencang melanda Felda Lubuk Merbau dan kawasan sekitar.

Kejadian menyebabkan bumbung 181 rumah dan premis perniagaan diterbangkan angin sejauh beberapa meter. Malah sebahagiannya mengalami kerosakan teruk.

Selain bumbung dan dinding, sebahagian penduduk terpaksa menanggung kerugian apabila peralatan perabot dan elektrik rosak ditimpa hujan.

Seorang pesara tentera turut cedera di tangan dan belakang badan akibat dihempap pokok yang tumbang.