Projek lewat siap: KKR teliti tindakan terhadap kontraktor

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan / Foto RTM

PUTRAJAYA, 15 April – Kementerian Kerja Raya akan meneliti tindakan lanjut, termasuk kemungkinan menamatkan kontrak projek Pusat Aktiviti Setia Perdana, Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya, yang mengalami kelewatan meskipun telah diberikan lanjutan masa sebanyak enam kali.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek sepatutnya siap 2024 namun gagal capai kemajuan, diklasifikasikan sebagai projek sakit.
  • Kontraktor gagal tunjuk komitmen: tidak hadir mesyuarat tapak, tenaga kerja mahir tidak mencukupi, perancangan kerja lemah.
  • Kementerian akan putuskan pada mesyuarat 21 April sama ada menamatkan kontrak atau ambil tindakan lain.
  • Jika kontrak ditamatkan, perlu lantik kontraktor penyiap melalui tender baharu, menambah kos dan mengambil dua hingga tiga bulan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, projek berkenaan sepatutnya siap pada 2024, namun masih gagal mencapai kemajuan ditetapkan, sekali gus diklasifikasikan sebagai projek sakit.

“Kontraktor terbabit didapati gagal menunjukkan komitmen sewajarnya, termasuk tidak menghadiri mesyuarat tapak, tidak menyediakan tenaga kerja mahir yang mencukupi serta lemah dalam aspek perancangan kerja.

“Pihak kementerian akan memutuskan mesyuarat pada 21 April ini sama ada ingin menamatkan kontraktor ini ataupun bagaimana dan kita berharap projek seperti ini tidak banyak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan ke tapak projek Pusat Aktiviti Setia Perdana di Putrajaya.

Tambah beliau, kementerian tidak menggalakkan pemberian lanjutan masa secara berulang kerana keadaan itu mencerminkan kelemahan dalam pelaksanaan projek, selain berpotensi meningkatkan kos kepada kerajaan.

Jelasnya, sekiranya kontrak ditamatkan, kerajaan perlu melantik kontraktor penyiap menerusi tender baharu, yang bukan sahaja melibatkan kos tambahan, malah mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk diselesaikan.