
KOTA BHARU, 7 Jun – Aktiviti ekonomi baharu akan diwujudkan di sepanjang kawasan sempadan Sungai Golok, Kelantan.
- Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan bersetuju secara prinsip mengenai inisiatif ekonomi baharu.
- Perincian kaedah pelaksanaan akan diperhalusi dalam mesyuarat susulan dan memerlukan masa untuk direalisasikan.
- Perobohan jeti haram dilakukan kerana ancaman keselamatan negara dan kegiatan penyeludupan.
- Pelaksanaan akan diselaras dan dipantau rapat oleh MKN, Kerajaan Negeri dan Unit Penyelarasan sambil membangunkan aktiviti ekonomi untuk penduduk.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata mesyuarat bersama Jawatankuasa Keselamatan Negeri Kelantan yang berlangsung hari ini telah bersetuju secara prinsip mengenai perkara itu.
Bagaimanapun katanya perincian mengenai kaedah pelaksanaanya pula akan diperhalusi menerusi mesyuarat susulan dalam masa terdekat, selain ia akan mengambil sedikit masa untuk direalisasikan.
“Jadi tadi kita hanya berbincang secara prinsip. Pendekatan kita selanjutnya, saya berpandangan ia satu kemestian sebab kita dengan bantuan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia telah merobohkan jeti-jeti haram.
“Bagi berlaku adil kepada penduduk sekitar, kita kena bangunkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Kelantan di sini.
Tambah beliau, pelaksanaan aktiviti ekonomi baharu di sempadan Sungai Golok akan diselaras dan dipantau rapat MKN bersama Kerajaan Negeri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.
Semalam, Datuk Raja Nurshirwan memaklumkan cadangan mewujudkan aktiviti ekonomi baharu di kawasan sempadan Sungai Golok dibincangkan dalam mesyuarat hari ini selepas tindakan perobohan jeti-jeti haram memberi kesan terhadap ekonomi penduduk sekitar.
Selain itu katanya tindakan perobohan jeti haram dibuat kerana memberi ancaman keselamatan negara membabitkan kegiatan penyeludupan.