
BATU PAHAT, 7 Jun- Malaysia berpotensi memperoleh akses kepada salah satu telaga gas terbesar di dunia menerusi kerjasama strategik dengan Turkmenistan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Rundingan antara Kerajaan Turkmenistan dan Petronas diperkukuh untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga.
- Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Turkmenistan untuk menyaksikan pemeteraian perjanjian sektor tenaga.
- Anwar tekankan penglibatan peribadi beliau perlu demi kepentingan negara dan mendapatkan simpanan gas besar.
Beliau berkata usaha itu sedang diperkukuh menerusi rundingan bersama Kerajaan Turkmenistan dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Menurut Datuk Seri Anwar, beliau dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Turkmenistan dalam masa terdekat bagi menyaksikan pemeteraian perjanjian berkaitan sektor tenaga.
“Turkmenistan telah memberi jaminan bahawa, insya-Allah, Petronas akan memperoleh akses kepada salah satu telaga gas terbesar di dunia.” katanya.
Beliau berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor ke-16 di sini, malam tadi.
Datuk Seri Anwar berkata peluang berkenaan amat penting kepada Malaysia dan memerlukan penglibatan beliau sendiri sebagai Perdana Menteri dalam proses pemeteraian perjanjian yang dirancang.
“Demi kepentingan negara, saya tidak mempunyai pilihan selain meneruskan lawatan tersebut dan mudah-mudahan Malaysia dapat memperoleh simpanan gas yang besar di rantau ini,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata meskipun jadual beliau padat dengan pelbagai urusan termasuk PRU DN Johor ke-16, kepentingan strategik negara dalam sektor tenaga memerlukan komitmen berterusan kerajaan untuk meneroka peluang baharu pada peringkat antarabangsa.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa keputusan mengadakan PRU DN Johor ke-16 bukan kehendaknya khususnya ketika ekonomi global masih berdepan pelbagai cabaran ketika ini.
“Sebenarnya ini bukan pilihan saya. Pilihan saya adalah meneruskan kerjasama (politik), menjaga ekonomi negara, menangguhkan semua pilihan raya dan menumpukan sepenuhnya usaha menyelamatkan ekonomi rakyat.
“Tetapi apabila ada pihak yang mahu mengadakan pilihan raya baharu dan kembali berpolitik, itu pilihan mereka.
“Saya tidak ada pilihan, apabila mereka mahu bertanding, kita akan hadapi,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata keputusan mengadakan PRU DN Johor ke-16 perlu dihormati dan menyeru semua pihak memastikan pilihan raya berlangsung secara matang tanpa menjejaskan usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan.