
BATU PAHAT, 7 Jun- Inisiatif kerajaan memperluas kemasukan ke program matrikulasi kepada pelajar cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilihat sebagai langkah memperkukuh akses pendidikan tinggi negara berasaskan merit dan pencapaian akademik.
- Kerajaan mengiktiraf pelajar berprestasi tinggi melalui dasar berasaskan merit untuk memperkukuh ekosistem pendidikan negara.
- Kerajaan memberi perhatian kepada pelajar berpendapatan rendah melalui mekanisme dan peruntukan sedia ada untuk memastikan peluang pendidikan terbuka.
- Kementerian Pendidikan menawarkan kemasukan automatik ke Program Matrikulasi untuk calon layak; kuota Bumiputera 90 peratus dikekalkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar berprestasi tinggi serta memastikan sistem pendidikan tinggi negara lebih inklusif.
“Sebelum ini saya tidak sampai hati untuk menyatakan ‘tidak’, sedangkan sekitar 10,000 pelajar pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan memperoleh keputusan 10A tetapi tidak diberi laluan kemasukan terus.
“Ini bukan soal mengambil hak mana-mana pihak, sebaliknya memberi laluan kepada pelajar cemerlang 10A, sama ada Melayu atau Cina, untuk kemasukan terus ke matrikulasi. Inilah yang kita (kerajaan) luluskan,” katanya.
Beliau berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor ke-16 di sini, malam tadi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan turut memberi perhatian kepada pelajar daripada latar belakang berpendapatan rendah (B40) melalui mekanisme dan peruntukan sedia ada bagi memastikan peluang pendidikan terus terbuka kepada semua.
Perdana Menteri berkata dasar berasaskan merit itu diharap dapat memperkukuh ekosistem pendidikan negara serta memberi ruang kepada pelajar cemerlang melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.
8 April lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan penawaran kemasukan secara automatik kepada semua 6,717 calon yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2025 ke Program Matrikulasi bagi sesi 2026/2027.
Tawaran berkenaan diberikan kepada semua calon yang memohon tanpa mengambil kira kaum dan latar belakang.
KPM turut memaklumkan bahawa kuota kemasukan 90 peratus Bumiputera ke program berkenaan kekal dan tidak terjejas.