
BANGI, 7 Jun- Malaysia dan China memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pelancaran Malaysia-China Industry-Education Alliance (MCIEA) yang menjadi platform menghubungkan institusi pendidikan, industri dan rakan teknologi kedua-dua negara.
- Institusi TVET mesti berevolusi daripada pusat latihan kepada hab inovasi, pemindahan teknologi, pendedahan industri dan pembelajaran dunia sebenar.
- Pelajar harus belajar bersama mesin, mengalami dan mengaplikasikan teknologi serta diperkasa untuk mencipta nilai dan menyelesaikan masalah.
- Malaysia menghargai pengalaman China seperti model Teaching Factory dan pembelajaran berasaskan pekerjaan yang merapatkan jurang antara pendidikan dan industri.
- MCIEA ditubuhkan sebagai platform strategik untuk menyelaraskan kurikulum dengan keperluan ekonomi masa hadapan dan menjambatani latihan kepada pekerjaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata MCIEA merupakan pemacu penting dalam usaha membina ekosistem bakat masa depan yang selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan ekonomi.
“Saya percaya melalui kerjasama ini, institusi TVET, universiti, industri dan rakan teknologi akan berganding tenaga dalam sektor seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, pembuatan pintar, kenderaan elektrik (EV), semikonduktor, logistik dan teknologi digital,” katanya.
Beliau menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam Diplomasi TVET Malaysia-China 2026 sempena 3rd Malaysia-China International Industry-Education Cooperation Forum and 5th Malaysia-China Vocational Education Fair 2026 (MCIEF26) di sini malam tadi.
Dalam masa sama, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata institusi TVET perlu berevolusi daripada pusat latihan kepada hab inovasi, pemindahan teknologi, pendedahan industri serta pembelajaran dunia sebenar, selain mempersiapkan pelajar untuk keperluan industri baharu yang sedang berkembang pesat.
“Kita perlu memastikan pelajar bukan sekadar belajar mengenai mesin, tetapi belajar bersama mesin melalui pengalaman dan aplikasi teknologi. Mereka bukan hanya dilatih mengendalikan sistem, sebaliknya diperkasa untuk mencipta nilai, menyelesaikan masalah, membangunkan industri dan menerajui transformasi,” katanya.
Dalam majlis sama, beliau mengumumkan tiga inisiatif di bawah MCIEA termasuk 1,000 penempatan biasiswa bernilai RM18 juta oleh institusi dan industri dari China kepada graduan TVET Malaysia untuk melanjutkan pengajian di institusi TVET terkemuka di Malaysia dan China.
Selain itu, sebanyak 2,000 peluang latihan antarabangsa bernilai lebih RM10 juta turut disediakan melibatkan program mobiliti, upskilling, reskilling dan Train-The-Trainer dalam bidang strategik seperti AI, robotik, automasi industri, EV, semikonduktor dan keselamatan siber.