
KUALA LUMPUR, 15 April- Kenaikan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu kepada RM400 sebulan dilihat sebagai langkah penstabilan bagi mengurangkan tekanan kos dalam sektor pertanian, sekali gus menyokong kelangsungan pengeluaran makanan secara mampan.
- Mengelakkan pemindahan peningkatan kos kepada pengguna dan memastikan kelancaran rantaian logistik.
- Mengurangkan kos operasi petani serta pekebun kecil, membolehkan pengeluar meneruskan pengeluaran.
- Bantuan perlu bersifat fleksibel dan diselaraskan mengikut perubahan harga pasaran bagi kestabilan jangka panjang.
- Pelaksanaan mesti cekap dan teratur supaya hanya golongan sasar menerima manfaat; kerajaan disarankan mempertimbangkan sokongan tambahan untuk baja dan makanan ternakan.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohd Iqbal Mohd Noor berkata langkah itu berupaya mengelakkan peningkatan kos daripada dipindahkan secara langsung kepada pengguna, selain memastikan kelancaran rantaian logistik.
“Langkah ini jelas menyokong kestabilan pengeluaran makanan, khususnya dengan mengurangkan kos operasi petani dan pekebun kecil. Apabila kos diesel ditampung melalui subsidi, pengeluar dapat meneruskan operasi seperti biasa,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata bagi memastikan kestabilan jangka panjang, bantuan berkenaan perlu bersifat fleksibel dan disesuaikan mengikut perubahan harga pasaran semasa.
Tambah beliau, pelaksanaan bantuan juga perlu cekap dan teratur bagi memastikan hanya golongan sasar menerima manfaat, khususnya pengusaha kecil yang berdepan tekanan kos bahan api.
Dalam pada itu, beliau menyarankan kerajaan mempertimbangkan sokongan tambahan melibatkan input pertanian lain seperti baja dan makanan ternakan sekiranya ketidaktentuan global berterusan.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan bantuan tunai di bawah program BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026.
Bantuan itu akan disalurkan pada 21 April ini yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil serta kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel di Semenanjung.