Konflik Asia Barat: JKR teliti kesan terhadap sektor pembinaan

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Pusat Aktiviti Setia Perdana di Presint 10, Putrajaya

PUTRAJAYA, 15 April – Jabatan Kerja Raya (JKR) kini meneliti secara lebih menyeluruh impak konflik Asia Barat terhadap kenaikan kos sektor pembinaan, termasuk bahan binaan dan penggunaan diesel, menerusi data yang lebih tepat bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • DOSM mempunyai angka dan kaedah saintifik yang boleh dijadikan rujukan bagi menentukan kadar sebenar kenaikan bahan binaan.
  • Anggaran kenaikan 30 hingga 40 peratus oleh persatuan kontraktor perlu diperhalusi berdasarkan data sahih.
  • Hanya empat peratus projek JKR diklasifikasikan sebagai projek sakit, lazimnya akibat kelewatan kontraktor dan masalah pengurusan serta kewangan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, langkah itu penting bagi memastikan unjuran impak terhadap industri pembinaan dibuat berasaskan data sahih, bukan sekadar anggaran umum pihak industri.

“Kami terus mendapatkan maklumat kenaikan ini sebenarnya berapa peratus dan kita telah pun menghubungi CIDB khasnya dengan DOSM untuk mendapatkan peratusan kenaikan bahan binaan yang sebenar.

“DOSM mempunyai angka, kaedah pengiraan dan kadar inflasi yang dibuat oleh DOSM. Selain diumum dari semasa ke semasa secara berkala itu mempunyai kaedah saintifik yang boleh dipercayai,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke tapak projek Bangunan Pusat Aktiviti Setia Perdana di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan terdapat pelbagai laporan daripada persatuan kontraktor yang menganggarkan kenaikan antara 30 hingga 40 peratus, namun angka tersebut perlu diperhalusi.

Menurut beliau, DOSM mempunyai kaedah pengiraan saintifik dan data inflasi berkala yang boleh dijadikan rujukan lebih tepat dalam mengenal pasti kadar sebenar kenaikan bahan binaan serta komponen yang paling terjejas dalam sesuatu projek.

Tambah beliau, kesan kenaikan kos juga berbeza mengikut jenis projek, dengan pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya dikenal pasti antara yang paling terkesan berikutan kebergantungan tinggi terhadap penggunaan diesel.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, hanya empat peratus daripada 855 projek di bawah seliaan JKR di seluruh negara ketika ini diklasifikasikan sebagai projek sakit.

Menurut beliau, keadaan itu lazimnya berpunca daripada kelewatan kemajuan kerja oleh kontraktor yang dilantik, khususnya melibatkan aspek pengurusan projek dan kewangan.