
PUTRAJAYA, 15 April – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese memulakan lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat.
- Perbincangan fokus kepada konflik Asia Barat, impak krisis tenaga global dan gangguan di Selat Hormuz.
- Kedua negara akan mempergiat usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan dan memastikan kelangsungan laluan perdagangan serta bekalan tenaga.
- Perbincangan juga merangkumi perdagangan, pelaburan serta kerjasama dalam tenaga boleh baharu dan teknologi hijau.
- Dijangka menghasilkan Kenyataan Bersama mengenai jaminan bekalan tenaga dan pertukaran MoU sektor daging merah halal.
Fokus tertumpu kepada perkembangan konflik di Asia Barat dan kesannya terhadap krisis tenaga global serta serta gangguan di Selat Hormuz.
Menurut kenyataan Wisma Putra, kedua-dua negara dijangka mempergiat usaha diplomatik bagi meredakan ketegangan serta memastikan kelangsungan laluan perdagangan antarabangsa termasuk kestabilan rantaian bekalan tenaga demi kesejahteraan rakyat.
Pertemuan turut menyentuh mengenai pelbagai aspek hubungan dua hala termasuk perdagangan, pelaburan serta kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu dan teknologi hijau.
Albanese dijadualkan tiba di ibu negara petang ini dan akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya esok, diikuti pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertemuan bermakna bagi kedua-dua pemimpin ini dijangka menghasilkan satu Kenyataan Bersama berkaitan jaminan bekalan tenaga.
Kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama strategik dalam sektor daging merah halal antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Department of Agriculture, Fisheries and Forestry Australia.
Satu jamuan rasmi akan diadakan di Kompleks Seri Perdana bagi meraikan kehadiran Albanese dan delegasi.
Australia kekal sebagai antara rakan dagang utama Malaysia menyaksikan tahun lalu kedua-dua negara masing-masing merupakan rakan dagang ke-12 terbesar antara satu sama lain dengan jumlah dagangan dua hala mencecah RM78.63 bilion.
Malaysia dan Australia sebelum ini telah meningkatkan hubungan kepada tahap Rakan Strategik Komprehensif pada tahun 2021, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama lebih luas dalam bidang ekonomi, teknologi, masyarakat serta pertahanan dan keselamatan serantau.