
KULIM, 15 April – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menahan 119 warga asing dalam Operasi Penguatkuasaan Ops Sapu di sebuah tapak pembinaan di Padang Meha, di sini, pada Selasa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata dalam operasi yang dilakukan Unit Tindakan JIM itu, seramai 155 individu telah diperiksa yang terdiri daripada warga tempatan dan asing.
- Seramai 155 individu diperiksa, melibatkan warga tempatan dan asing.
- Didapati melakukan kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan langgar syarat pas.
- Tangkapan melibatkan warga Pakistan, Bangladesh, India dan China berumur 20 hingga 58 tahun.
- Jabatan Imigresen akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan; orang ramai diminta salurkan maklumat PATI.
“Hasil pemeriksaan mendapati, seramai 119 lelaki warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Antara kesalahan dilakukan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, tangkapan melibatkan warga Pakistan, Bangladesh, India dan China yang berumur antara 20 hingga 58 tahun.
Tiga Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang tempoh operasi bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua tahanan telah dibawa ke Ibu Pejabat JIM Kedah untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Tegas Mohd Ridzzuan, Jabatan Imigresen Malaysia akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang Imigresen negara.
Orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan.