SPRM perkasa pendidikan integriti dalam kalangan Gen Z

KPKPj Shamsul Salip

KUALA LUMPUR, 15 April- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempergiat pelbagai inisiatif pendidikan dan kesedaran integriti dengan memberi tumpuan kepada Generasi Z (Gen Z) yang dikenal pasti sebagai benteng baharu dalam usaha memerangi rasuah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerapan nilai integriti bermula sejak pra-sekolah hingga IPT melalui Program Wira Antirasuah dan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR).
  • Pendekatan menyerlahkan kepentingan Gen Z kerana pendedahan awal kepada teknologi mempengaruhi pembentukan masa depan negara.
  • Memanfaatkan media sosial sebagai saluran strategik untuk menyampaikan maklumat sahih dan menangkis persepsi negatif tentang rasuah.
  • Perluasan program melalui kerjasama dengan NGO, komuniti dan kementerian bagi mencapai pendekatan inklusif serta melahirkan agen perubahan berintegriti.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, KPKPj Shamsul Salip berkata penerapan nilai integriti perlu dimulakan sejak awal usia merangkumi peringkat prasekolah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk melalui pelaksanaan Program Wira Antirasuah dan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) yang kini diwajibkan di kebanyakan universiti awam.

“Apabila kita sebut berkaitan integriti, ia bukan sahaja satu sifat atau sikap yang perlu diterapkan, tetapi mesti dimulakan sejak awal terutama dalam kalangan Gen Z supaya menjadi bekalan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang bersih dan bebas rasuah,” katanya kepada media selepas bersiaran di Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini.

Beliau berkata pendekatan itu mengambil kira realiti semasa apabila Gen Z yang lebih awal terdedah kepada teknologi menjadikan mereka kelompok penting dalam mencorakkan masa depan negara.

Dalam pada itu, SPRM turut memanfaatkan platform media sosial sebagai medium strategik untuk mendekati golongan belia dengan menyalurkan maklumat sahih dan menangkis persepsi negatif berkaitan rasuah.

Menurutnya, setiap inisiatif yang dilaksanakan akan dinilai melalui maklum balas peserta bagi memastikan pendekatan yang digunakan kekal relevan dan berimpak tinggi.

SPRM turut merancang memperluas pendekatan kepada golongan belia di luar sistem pendidikan formal melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

“Alhamdulillah, dengan kementerian-kementerian yang ada, khususnya yang melibatkan golongan belia seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, mereka sangat menyokong usaha ini,” ujarnya.

Beliau berkata usaha itu bertujuan memastikan mesej antirasuah dapat disampaikan secara lebih inklusif merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang pendidikan.

SPRM yakin pelaksanaan inisiatif berterusan itu mampu melahirkan generasi muda yang berperanan sebagai agen perubahan dalam membentuk Malaysia yang lebih telus, berintegriti dan bebas rasuah.