
ALOR SETAR, 15 April – Peladang-peladang di Kawasan Muda, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik pengumuman Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kewangan berhubung penambahbaikan bantuan diesel yang dilaksanakan bagi meringankan beban kos operasi sektor pertanian.
- Kenaikan insentif pembajakan daripada RM160 ke RM300 sehektar memberi manfaat terus kepada 55,904 peladang di kawasan MADA.
- Bantuan tunai diesel BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu dinaikkan daripada RM300 ke RM400 sebulan, disalurkan pada April.
- Kelonggaran syarat permit khas untuk pembelian diesel melebihi 20 liter memudahkan operasi jentera dan kurangkan urusan pentadbiran.
- Langkah penambahbaikan menggambarkan komitmen Kerajaan MADANI memperkukuh bantuan bersasar, kurangkan tekanan kos sara hidup dan jamin bekalan makanan.
Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA dalam kenyataan memaklumkan kenaikan kadar insentif pembajakan daripada RM160 ringgit kepada RM300 sehektar memberi manfaat langsung kepada 55,904 peladang di kawasan MADA serta menjadi sokongan penting dalam mendepani cabaran kos pengeluaran semasa.
“Peningkatan kadar bantuan tunai diesel bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi bulan April, yang akan disalurkan pada 21 April ini, turut disambut baik.
“Pada masa yang sama, kelonggaran syarat permit khas bagi pembelian diesel melebihi 20 liter untuk kegunaan bukan kenderaan sektor pertanian akan melancarkan operasi jentera di sawah serta mengurangkan kekangan urusan pentadbiran peladang,” menurut kenyataan itu.
Peladang-peladang di Kawasan Muda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan atas keprihatinan berterusan dalam memastikan kelangsungan sektor pertanian serta jaminan bekalan makanan negara sentiasa
terpelihara.
Penambahbaikan tersebut menunjukkan Kerajaan MADANI kekal komited memperkukuh inisiatif bantuan bersasar kepada pengguna diesel bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, di samping memastikan kelancaran aktiviti ekonomi negara.
Kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah intervensi termasuk pengukuhan sokongan kepada pesawah serta penambahbaikan bantuan tunai diesel kepada kumpulan sasar dalam usaha memastikan kelangsungan bekalan makanan negara terus terjamin.
Penambahbaikan tersebut susulan ketidaktentuan krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat telah memberi kesan langsung terhadap peningkatan kos bahan api serta gangguan rantaian bekalan di peringkat antarabangsa.