
JERLUN, 15 April- Pemberian Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) dengan kenaikan daripada RM160 kepada RM300 sehektar disifatkan bertepatan ketika pesawah di Kedah bersiap sedia memulakan musim penanaman padi bulan ini.
- Insentif meringankan kos operasi petani sepanjang musim penanaman, terutama susulan kenaikan kos input termasuk harga diesel.
- Pesawah mengucap syukur kepada kerajaan; bantuan membantu mereka memulakan penanaman selepas cuaca baik.
- Cadangan kajian keperluan pemilik jentera serta program penerangan bersama agensi untuk jelaskan subsidi diesel dan isu pertanian.
Insentif itu dilihat sebagai bantuan awal yang dapat meringankan kos operasi sepanjang proses penanaman susulan peningkatan kos termasuk harga diesel berikutan krisis tenaga global.
“Terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas keprihatinan kepada pesawah. Insentif ini sangat membantu dan alhamdulillah musim ini kami dapat mula menanam selepas cuaca kembali baik,” kata seorang pesawah, Asrol Alizan Abdul.
Seorang lagi pesawah dan pemilik jentera pertanian, Mohd Noor Mad Zain berkata bantuan berkenaan sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kos yang ditanggung pengusaha kecil di kawasan luar bandar.
“Di Lubuk Pinang ini kebanyakan pesawah dan pekebun kecil. Bantuan seperti ini dapat membantu mengurangkan beban kos harian kami,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E2 Kubang Sepat, Abdul Halim Salleh berkata golongan pesawah di kawasan itu merakamkan penghargaan terhadap langkah kerajaan yang disifatkan bertindak pantas dalam menangani isu kos input pertanian.
Beliau bagaimanapun mencadangkan agar kerajaan meneliti keperluan pihak lain dalam rantaian pengurusan penanaman padi termasuk pemilik jentera.
“Kalau diesel naik, kesannya memang terus kepada pesawah. Jadi kita harap ada mekanisme yang lebih menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Penerangan StarKompen Kedah, Muhammad Izuwan Ibrahim berkata pelbagai program turun padang dan penerangan sedang digerakkan bagi membantu rakyat memahami isu berkaitan subsidi diesel serta sektor pertanian.
Beliau berkata pendekatan itu dilaksanakan melalui kerjasama bersama agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pemimpin komuniti setempat.
“Program penerangan akan dibuat di peringkat kampung dengan kerjasama ketua komuniti supaya isu ini dapat difahami dengan lebih jelas oleh rakyat,” katanya.