
SHAH ALAM, 15 April – Sebanyak 20,000 mushaf al-Quran dihantar ke Medan, Indonesia sekali gus meneruskan inisiatif Projek Solidariti Wakaf Sejuta Al-Quran, yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023.
- Medan dipilih sebagai destinasi bagi membantu masyarakat terkesan akibat banjir tahun lalu.
- Mushaf dan terjemahan Bahasa Indonesia mengambil masa hampir tiga tahun, melalui penyelidikan, semakan dan penerbitan yang teliti.
- Yayasan Restu melalui Nasyrul Quran telah menyerahkan mushaf ke lebih 40 negara; Inisiatif Sejuta Wakaf edarkan lebih 600,000 mushaf.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, Medan dipilih sebagai destinasi penghantaran kali ini bagi membantu masyarakat yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda wilayah berkenaan tahun lalu.
“Banyak terjemahan al-Quran telah dibuat dalam pelbagai bahasa dunia, termasuk Bahasa Indonesia, Mandarin dan lain-lain. Malah, mushaf al-Quran yang mengandungi terjemahan dari negara luar juga telah dihasilkan.
“Saya melihat ini sebagai satu usaha yang sangat baik dilakukan Yayasan Restu untuk mengedarkan al-Quran supaya dapat difahami oleh seluruh umat Islam di dunia.
“Apa yang kita lakukan adalah mengedarkannya ke Indonesia dengan kerjasama negara tersebut, kerajaan Malaysia serta institusi pesantren di sana,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Tautan Ukhuwah dan Pelepasan Kontena Projek Sejuta Wakaf Al Quran di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, di sini.
Tambahnya, Mushaf Al-Quran dan terjemahan Bahasa Indonesia itu mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan, melibatkan proses penyelidikan, semakan dan penerbitan secara teliti bagi memastikan ketepatan terjemahan.
Setakat ini, Yayasan Restu melalui Nasyrul Quran telah menyerahkan mushaf al-Quran ke lebih 40 buah negara termasuk Indonesia, Australia, Kanada dan Nepal.
Sementara itu, menerusi Inisiatif Sejuta Wakaf al-Quran, lebih 600,000 mushaf telah berjaya diedarkan ke seluruh negara setakat ini.