fb fb fb fb fb

Tiga kapal GSF diceroboh, puluhan dipintas tentera Zionis

Tiga kapal Global Sumud Flotilla diceroboh /FOTO Sumud Nusantara Flotilla Tracker

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Tiga kapal Global Sumud Flotilla diceroboh, manakala 12 lagi dipintas tentera rejim Israel, setakat pukul 3.15 pagi.

Dua kapal diceroboh iaitu Alma dan Sirius, membawa 7 delegasi Malaysia.

Rakyat Malaysia terlibat menaiki kapal Alma ialah Musa Alnuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil, manakala kapal Sirius membawa Haikal Abdullah, Muaz, Zulfadhli dan Rusydi.

Sementara itu, lima kapal yang dipintas turut membawa aktivis dari Malaysia.

Terdahulu, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) telah mengeluarkan Amaran Peringkat Tinggi mengenai cubaan memintas konvoi berkenaan.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata pihaknya telah menerima 10 laporan mengenai perkara itu daripada kapal yang membawa aktivis Malaysia.

“Semua dimohon untuk mengikuti perkembangan sekarang di tracker dan siaran langsung CCTV,” katanya menerusi media sosial SNCC.

Ketika ini tentera zionis dilapor terus menyerang kapal misi flotila bagi menghalang misi untuk memecahkan sekatan dan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Seramai 23 aktivis Malaysia berada dalam misi pelayaran berkenaan. 

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN