
CYBERJAYA, 16 April – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Universiti Malaya (UM) berhubung isu adegan kurang sopan dalam sebuah pementasan teater yang tular di media sosial, semalam.
- Rakaman tular memaparkan babak intim lelaki dan wanita dalam pementasan teater di UM.
- UM sahkan persembahan melanggar etika kerana tidak mengikut skrip diluluskan; pertandingan KARVITER terikat garis panduan ketat menolak unsur negatif.
- Perpustakaan dinaik taraf diharapkan jadi pusat rujukan utama dan sumbangan penting kepada pembangunan modal intelektual negara, bukan sekadar aset universiti.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah menonton rakaman video berkenaan, namun memilih untuk tidak mengulas lanjut sehingga maklumat lengkap diperoleh daripada pihak universiti.
“Setakat ini saya sudah melihat video yang tular di media sosial. Bagaimanapun, saya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak UM terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Naik Taraf Perpustakaan Digital University of Cyberjaya, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim di atas pentas, yang difahamkan merupakan sebahagian daripada pementasan teater di UM.
Sementara itu, pihak UM dalam satu kenyataan memaklumkan persembahan tersebut didapati melanggar etika universiti kerana tidak mematuhi skrip asal yang telah diluluskan.
Menurut universiti itu, setiap penyertaan dalam pertandingan KARVITER tertakluk kepada garis panduan ketat, termasuk larangan terhadap unsur negatif, provokatif serta kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya dan reputasi institusi.
Dalam perkembangan sama, UM memaklumkan hasil penelitian mendapati adegan yang dipertontonkan tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan, sekali gus merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, UM turut memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta sebarang kegusaran yang timbul, selain menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan atau peraturan program.
Tambah kenyataan itu, persembahan berkenaan diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai, manakala tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan.