
KULIM, 20 April – Polis mengesahkan lelaki yang tular ditarik dari motosikal sebelum kepalanya dipijak anggota polis adalah suspek yang ditahan dalam operasi rondaan cegah jenayah di daerah ini, pagi tadi.
- Suspek bertindak agresif, menendang motosikal anggota dan melarikan diri secara berbahaya termasuk melawan arus.
- Anggota polis mencari kira-kira lima kilometer dan menahan semula suspek di hadapan kedai aksesori motosikal Jalan Tunku Putra.
- Pemeriksaan menemui dua bungkusan plastik disyaki air rebusan daun ketum; saringan air kencing awal positif methamphetamine.
- Suspek 32 tahun mempunyai rekod jenayah; disiasat di bawah Akta Racun, Akta Dadah Berbahaya dan Akta Pengangkutan Jalan; reman esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi di Jalan Sungai Ular ketika anggota polis menjalankan rondaan sebelum berlaku pergelutan semasa cubaan menahan suspek.
“Suspek bertindak agresif dengan menendang motosikal milik anggota polis sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal secara melulu, termasuk melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Anggota polis kemudian menjalankan pencarian sejauh kira-kira lima kilometer sebelum berjaya mengesan dan menahan semula suspek di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas motosikal suspek menemukan dua bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi air rebusan daun ketum.
Katanya, suspek berusia 32 tahun itu kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Polis percaya suspek memandu dalam keadaan di bawah pengaruh dadah dan tindakannya menunggang secara berbahaya boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Beliau berkata suspek turut mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim esok bagi permohonan reman.
Dalam masa sama, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular berdurasi 29 saat itu.