
PUTRAJAYA, 20 April – Pasukan kesihatan barisan hadapan digerakkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membantu penduduk terjejas kebakaran di Kampung Bahagia di Sandakan, Sabah, semalam.
- Rawatan asas dan khidmat kaunseling disediakan di Pusat Pemindahan Sementara.
- Kementerian memberi perhatian serius walaupun tiada kehilangan nyawa dilaporkan.
- Kebakaran menjejaskan lebih 9,000 penduduk dan memusnahkan 1,000 kediaman; KKM bertindak pantas menyalurkan bantuan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan itu menyediakan rawatan asas serta khidmat kaunseling di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut beliau, insiden itu diberi perhatian serius pihak kementerian walaupun tiada kehilangan nyawa dilaporkan setakat ini.
“Kementerian telah menggerakkan kaunselor, jururawat serta pegawai perubatan dan pembantu perubatan. Mereka sudah berada di sana,” katanya.
Beliau menyatakannya pada sidang media majlis pelancaran dapatan NHS 2025: Kesihatan Warga Emas, di sini.
Kebakaran di Kampung Bahagia berlaku awal pagi semalam, telah menjejaskan lebih 9,000 penduduk, selain memusnahkan 1,000 kediaman.
Jelasnya lagi, pihaknya sentiasa bertindak pantas dalam situasi kecemasan termasuk insiden kebakaran bagi memastikan bantuan dapat disalur kepada mangsa secepat mungkin.