Penelitian bentuk pampasan kepada keluarga mangsa jenayah perlu diberi fokus

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menghadiri Majlis Penyerahan Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice on Wheels (JoW) dan Pentauliahan Pegawai Pengantara Jabatan Bantuan Guaman di Putrajaya. / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 April – Penelitian terhadap bentuk pampasan atau restitusi kepada keluarga mangsa jenayah perlu diberi fokus tribunal khas sekiranya cadangan penubuhannya diluluskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pampasan perlu dikaji mengambil kira kemampuan pihak membayar dan sama ada kes melibatkan individu atau syarikat.
  • Tanggungjawab korporat seperti 'corporate manslaughter' perlu dipertimbangkan tanpa mengarahkan penjara kepada syarikat.
  • Cadangan tribunal khas bagi tuntutan pampasan sedang dikaji; restitusi melalui kerja sosial digunakan di beberapa negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selain pampasan berbentuk kewangan, pendekatan restitusi melalui kerja sosial juga boleh dipertimbang.

Menurut beliau, penelitian harus mengambil kira pelbagai faktor termasuk kemampuan pihak berkenaan untuk melunaskan pampasan dan sama ada kes melibatkan individu atau syarikat.

“Isu pampasan ini perlu dilihat secara meluas oleh Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Jenayah.

“Sebagai contoh, saya ada sebut tentang ‘corporate manslaughter’ untuk kes pemandu bas cuai. Kita nak syarikat bertanggungjawab dan bila syarikat bertanggungjawab, takkan kita nak syarikat masuk penjara,” katanya

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice on Wheels (JoW) dan Pentauliahan Pegawai Pengantara Jabatan Bantuan Guaman, di sini.

Menurutnya lagi, pendekatan restitusi melalui kerja sosial telah dilaksana di beberapa negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Jerman.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara dilapor sedang meneliti cadangan penubuhan tribunal khas bagi tuntutan pampasan kepada keluarga mangsa jenayah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, cadangan berkenaan memerlukan kajian terperinci bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya, jika direalisasikan kelak.