Syarikat pengumpulan barangan kitar semula didenda RM30,000

Pemeriksaan di premis yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Bandar Darulaman, Jitra

ALOR SETAR, 20 April – Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman denda RM30,000 ke atas sebuah syarikat pusat pengumpulan barangan kitar semula di Jitra kerana menempatkan buangan terjadual sisa elektronik (e-waste) tanpa lesen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan pada 17 Januari 2025 oleh Jabatan Alam Sekitar Kedah bersama Pasukan Gerak Am Kulim di premis Kawasan Perindustrian Bandar Darulaman
  • Premis didapati menempatkan buangan terjadual e-waste Kod SW110 tanpa lesen daripada Jabatan Alam Sekitar
  • Syarikat dikenakan pertuduhan bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, denda RM25,000 hingga RM250,000 atau penjara lima tahun

Berdasarkan fakta kes, pada 17 Januari 2025, pegawai-pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dibantu Pasukan Gerak Am (PGA) Kulim telah menjalankan pemeriksaan di premis yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Bandar Darulaman, Jitra.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri Kedah, Syarifah Zakiah Syed Sahab berkata hasil pemeriksaan tersebut mendapati premis telah menempatkan buangan terjadual e-waste Kod SW110 tanpa lesen oleh Jabatan Alam Sekitar.

Dalam rayuan hukuman, syarikat yang diwakili pengarahnya memohon agar diringankan hukuman kerana barangan ewaste berkenaan diterima melalui pelanggan, dan bukan dibeli pihaknya dan pihak premis juga dalam proses untuk memohon mendapatkan lesen.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah dalam hujahannya memohon hukuman yang setimpal diberikan sebagai pengajaran agar sentiasa mematuhi keperluan yang ditetapkan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Bagi kesalahan itu syarikat berkenaan telah dituduh bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeling 1974(Pindaan 2024).

Jika disabitkan kesalahan Seksyen 18(3) menetapkan denda tidak kurang daripada RM25,000 dan maksimum sehingga RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun.