Krisis tenaga global: Kerajaan umum bantuan RM5 bilion sokong PMKS

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 20 April – Kerajaan mengumumkan beberapa langkah segera bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat tekanan kos susulan krisis tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan jaminan tambahan RM5 bilion melalui SJPP; liputan pembiayaan 80% dan tempoh jaminan dilanjutkan sehingga 10 tahun.
  • SJPP bekerjasama dengan bank untuk memudahkan penstrukturan semula, penjadualan pinjaman dan bantuan bayaran balik bersasar kepada PMKS.
  • E-invois Fasa 4 diberi lanjutan 12 bulan tanpa penalti hingga 31 Disember 2027 bagi perniagaan jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara bantuan utama ialah peruntukan jaminan tambahan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi menyokong PMKS terjejas, khususnya dalam sektor pembinaan, pertanian, logistik dan pelancongan.

“Jaminan bagi sekotr yang terkesan ini ditambahbaik berbanding skim SJPP biasa melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini, serta melanjutkan tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding 7 tahun,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin di Facebook Kementerian Kewangan.

Setakat ini, lebih 50,000 PMKS telah menerima manfaat melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudahcara penstrukturan dan penjadualan semulan pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut mengumumkan kelonggaran pelaksanaan e-invois bagi meringankan beban pematuhan dalam kalangan PMKS,

“Pelaksanaan e-invois Fasa 4 diberikan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2027 bagi perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kelonggaran tanpa penalti sepanjang tempoh tersebut.

Bagi menyokong aktiviti perdagangan, kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian interim duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang terjejas akibat gangguan eksport, sehingga 31 Disember 2026.

“Kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudahcara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat,” katanya.

Dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan, Datuk Seri Anwar berkata kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasa dengan institusi kewangan, pemain industri dan para usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan.

“Ini bukan situasi sementara, kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan,” tambah beliau.