
KUALA LUMPUR, 20 April – Usaha meningkatkan bilangan warga emas yang mencapai penuaan sejahtera akan dipergiat Kementerian Kesihatan.
- Tumpuan memperkukuh kesihatan awam dan sokongan sosial untuk memastikan warga emas menua secara sihat dan bermaruah.
- Hanya 14.7 peratus warga emas mencapai penuaan sejahtera menurut dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2025.
- Lima kriteria utama ditetapkan: penyakit terkawal, sokongan sosial tinggi, kognitif tanpa demensia, kemurungan rendah, kebolehan berdikari.
- Unjuran menunjukkan proses penuaan penduduk lebih pantas; keperluan memperkukuh dasar dan intervensi kesihatan semakin mendesak.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tumpuan terarah kepada langkah memperkukuh kesihatan awam dan sokongan sosial bagi memastikan golongan itu dapat menua secara sihat dan bermaruah.
Menurut beliau, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHS) 2025 yang diumumkan hari ini, hanya 14.7 peratus warga emas di Malaysia mencapai penuaan sejahtera, setakat ini.
“Ukuran ini yang kita mahu tambah baik agar pencapaian kita dapat ditingkatkan berbanding negara-negara serantau yang lain.
“Perkara ini sangat penting untuk diberi perhatian,” katanya pada sidang media majlis pelancaran dapatan NHS 2025: Kesihatan Warga Emas, di sini.
Sebanyak lima kriteria utama ditetapkan bagi mencapai penuaan sejahtera termasuk penyakit yang terkawal, sokongan sosial yang tinggi, keupayaan kognitif tanpa demensia, tahap kemurungan rendah dan kebolehan berdikari dalam aktiviti harian.
Jelas Datuk Seri Dr. Dzulkefly lagi, Malaysia dijangka berdepan proses penuaan penduduk lebih pantas dengan unjuran 15 peratus populasi berusia 60 tahun ke atas menjelang 2036.
Data itu meningkatkan keperluan untuk memperkukuh dasar serta intervensi kesihatan, agar rakyat dapat menua secara lebih sihat, aktif dan berkualiti.