Integriti benteng hadapi pengaruh digital

Fison Hamdi Ahmad

KUALA LUMPUR, 20 April – Nilai integriti perlu dipupuk dalam diri masing-masing sebagai benteng dalam mendepani cabaran era yang dipengaruhi pelbagai faktor termasuk media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berhati-hati mengenal pasti kandungan digital supaya tidak terpengaruh dan mengekalkan nilai integriti.
  • Integriti ialah melakukan perkara baik walaupun tiada pengawasan, bertindak sebagai pelindung daripada pengaruh negatif.
  • Amalan integriti bermula daripada perkara kecil dan keazaman diri; latihan luar tidak berkesan tanpa kehendak berubah.

Pengarah Pusat Pembangunan Integriti Insan dan Budaya, Fison Hamdi Ahmad berkata, dalam persekitaran digital yang mencabar masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam mengenal pasti kandungan sesuatu maklumat agar tidak terpengaruh serta menghakis nilai integriti dalam diri.

“Integriti yang mudah untuk kita fahami ialah kita melakukan perkara yang baik walaupun tiada sesiapa yang melihat, walaupun tanpa pengawasan.

“Meski bersendirian, kita tetap perlu berbuat baik dan tidak melakukan perkara yang buruk. Apa sahaja amalan kebaikan itu mencerminkan integriti. Integriti ini juga boleh diibaratkan seperti vaksin atau antibodi yang melindungi diri daripada pengaruh serta nasihat yang tidak baik, sekali gus menjadikan kita insan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Norsheeda Din menegaskan amalan intergriti perlu bermula daripada perkara kecil dalam kehidupan seharian.

Penerapan nilai integriti secara berterusan dan konsisten mampu membentuk masyarakat yang lebih beretika serta berpegang teguh kepada nilai murni.

“Integriti perlu bermula daripada diri individu sendiri. Sekiranya seseorang itu tidak mahu menjadi lebih baik dan mengamalkan nilai-nilai murni, maka sebarang usaha atau latihan daripada pihak luar tidak akan memberi kesan.

“Tanpa keinginan untuk berubah dalam diri sendiri, nilai integriti sukar untuk diterapkan. Bermula daripada perkara sekecil-kecilnya, apabila kita bercakap tentang integriti, ia bukan hanya berkaitan rasuah. Sebenarnya, rasuah hanyalah salah satu daripada aspek dalam nilai integriti,” katanya.