
KUALA LUMPUR, 16 April – Cadangan insurans kesihatan nasional dengan premium lebih rendah wajar dipertimbangkan dalam usaha memastikan akses rawatan yang lebih mampu milik kepada rakyat.
- Harga ubat meningkat 30 hingga 40 peratus dan peranti perubatan 50 hingga 100 peratus, menambah tekanan kepada perbelanjaan kerajaan.
- Kebanyakan bekalan ubat diimport dari India dan China; kos pengangkutan tinggi meningkatkan kos pengeluaran pengeluar.
- Kerajaan telah membelanjakan RM90 bilion untuk ubat dan peranti perubatan, dengan perbelanjaan dijangka terus meningkat.
- Rakyat digesa mengamalkan pencegahan: bersenam, pemakanan seimbang dan saringan kesihatan berkala untuk kurangkan risiko penyakit jangka panjang.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Perakaunan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Zaidah Turmin, langkah itu sekali gus berupaya menampung perbelanjaan fiskal negara khususnya dalam pemberian subsidi yang dijangka meningkat akibat tekanan kenaikan harga industri farmaseutikal susulan krisis tenaga global.
“Kebanyakan bekalan ubat-ubatan di Malaysia diimport dari India dan China, jadi apabila syarikat pengeluar ini terpaksa menanggung kos pengangkutan yang tinggi, mereka akan meningkatkan kos pengeluaran akibat ketidaktentuan rantaian bekalan,” katanya.
“Kerajaan telah membelanjakan RM90 bilion untuk sektor kesihatan bagi membeli ubat-ubatan dan juga peranti perubatan. Harga ubat-ubatan dan peranti perubatan diumumkan meningkat sebanyak 30 hingga 40 peratus bagi ubat-ubatan, manakala 50 hingga 100 peratus bagi peranti kesihatan.
Justeru, kita dapat bayangkan kos yang dibelanjakan kerajaan akan menjangkau melebihi RM90 bilion,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat memainkan peranan dengan mengamalkan langkah pencegahan kesihatan awam bagi mengurangkan risiko penyakit jangka panjang.
“Langkah paling mudah dan paling awal adalah menjaga kesihatan seperti melakukan senaman, pemakanan seimbang serta saringan kesihatan secara berkala,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kos ubat-ubatan di Malaysia meningkat sekitar 30 hingga 40 peratus susulan gangguan rantaian bekalan global akibat konflik di Asia Barat.