
BEIRUT, 23 April – Pemimpin Lubnan menuduh Israel melakukan jenayah perang selepas serangan udara membunuh seorang wartawannya di selatan negara itu.
- Amal Khalil, wartawan Al-Akhbar, terbunuh; rakan wartawannya cedera selepas serangan udara ke atas rumah tempat mereka berlindung.
- Presiden Joseph Aoun dan Perdana Menteri Nawaf Salam mengecam serta menganggap serangan ini jenayah perang.
- Pasukan penyelamat terhalang, perlu hubungi pengaman PBB; ambulans didakwa disasarkan, menunda pengeluaran mayat Amal dari runtuhan.
Pasukan penyelamat dan agensi media tempatnya bertugas pada Rabu mengesahkan kematian Amal Khalil, seorang wartawan berusia 42 tahun yang bekerja untuk akhbar harian Lubnan Al-Akhbar.
Agensi pertahanan awam menyatakan beliau terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di kampung Al-Tiri.
“Israel sengaja menyasarkan wartawan untuk menyembunyikan kebenaran mengenai jenayahnya terhadap Lubnan,” kata Presiden Joseph Aoun dalam satu kenyataan yang mengecam “jenayah perang”.
Perdana Menter, Nawaf Salam menulis di platform X bahawa menyasarkan wartawan dan menghalang akses pasukan penyelamat merupakan satu jenayah perang sambil menegaskan bahawa kerajaannya akan membawa kes itu ke badan antarabangsa.
Gencatan senjata selama 10 hari telah berkuat kuasa di Lubnan sejak Jumaat menghentikan sementara perang antara Israel dan pejuang Hizbullah yang telah mengorbankan lebih 2,400 nyawa di Lubnan.
Amal dan seorang lagi wartawan telah berlindung di sebuah rumah di Al-Tiri selepas satu serangan udara tentera Zionis menyasarkan sebuah kereta.
Media tempatan menyatakan dua individu di dalam kenderaan tersebut iaitu datuk bandar sebuah bandar berhampiran Bint Jbeil yang diduduki Israel dan seorang lelaki bersamanya maut.
Serangan Israel kemudian menyasarkan rumah tempat dua wartawan itu berlindung.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan bahawa serangan itu mencederakan wartawan Zeinab Faraj yang dibawa ke hospital dan menyebabkan Amal terperangkap di situ.
Seorang pegawai Palang Merah Lubnan menyatakan bahawa mereka berjaya menyelamatkan Zeinab Faraj tetapi gagal untuk selamatkan Amal dan terpaksa berundur berikutan serangan amaran dari tentera Zionis.
Pihak berkuasa Lubnan terpaksa menghubungi pasukan pengaman PBB yang ditempatkan di selatan negara itu, dan mengambil masa beberapa jam sebelum pasukan penyelamat dapat kembali ke kawasan tersebut untuk mengeluarkan mayat wartawan berkenaan dari runtuhan.
Kementerian kesihatan turut menuduh Israel menghalang operasi menyelamat dan menyasarkan ambulans yang jelas memaparkan simbol Palang Merah.