RTM raih tiga anugerah, perkukuh peranan angkat seni budaya

Program Selamat Pagi Malaysia meraih Anugerah Media Elektronik (TV) Kategori Rancangan

KUALA LUMPUR, 24 April – RTM merangkul tiga anugerah pada Majlis Apresiasi Media Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Traxx FM dan Selangor FM meraih Anugerah Media Elektronik Radio, menghargai kerjasama berterusan dengan JKKN untuk penyampaian mesej seni budaya.
  • Program Selamat Pagi Malaysia menerima Anugerah Media Elektronik (TV) Kategori Rancangan, memotivasi pasukan terus komited memartabatkan kebudayaan negara.
  • Majlis mengiktiraf peranan pengamal media dalam mengangkat martabat seni dan budaya serta mendorong liputan yang lebih meluas dan berkesan.

Radio TraxxFm dan Selangor Fm masing-masing meraih Anugerah Media Elektronik Radio.

Manakala, Selamat Pagi Malaysia pula meraih Anugerah Media Elektronik (TV) Kategori Rancangan.

Penerbit program Selamat Pagi Malaysia, Nur Aishah Mohd Yusof dan Suhanis Shahaini berkata anugerah tersebut satu penghargaan yang sangat bermakna buat keseluruhan tenaga kerja rancangan terbabit.

“Terima kasih kepada JKKN atas penghargaan ini. Anugerah ini pastinya membakar semangat pasukan Selamat Pagi Malaysia untuk lebih komited menjalin kerjasama dengan JKKN bagi menyiarkan pengisian yang menarik sekali gus saling membantu dalam memartabatkan kebudayaan dan kesenian negara,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Traxx Fm, Hanihafiza Yacob berkata pihaknya sentiasa berbesar hati untuk berkolaborasi bersama JKKN bagi memastikan mesej berkaitan seni dan budaya dapat disampaikan secara meluas dan berkesan.

“Saya bagi pihak Traxx FM sangat berbangga dengan apresiasi ini. Kami sudah lama menjalinkan kerjasama dengan JKKN dan sentiasa berbesar hati untuk membantu dalam menyampaikan mesej secara lebih meluas dan berkesan,” katanya selepas menerima anugerah yang disampaikan oleh Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris.

Majlis berkenaan dilaksanakan bagi mengiktiraf peranan pengamal media dalam membantu JKKN mengangkat martabat seni dan budaya negara agar terus subur dan dihargai.

Dalam pada itu, liputan berkaitan JKKN turut melibatkan 28 saluran radio, 59 siaran televisyen, 213 artikel akhbar serta 15 sidang media, sekali gus menunjukkan sokongan berterusan masyarakat terhadap seni dan budaya tempatan.

Selangor Fm meraih Anugerah Media Elektronik Radio
TraxxFm meraih Anugerah Media Elektronik Radio