JKKN perkasa program budaya, fokus rakyat tempatan hadapi kekangan pelancong asing

Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris

KUALA LUMPUR, 24 April – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) komited menganjurkan pelbagai program berasaskan budaya meskipun berdepan cabaran kekurangan pelancong asing berikutan krisis Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus melestarikan seni budaya dengan keutamaan kepada masyarakat tempatan bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.
  • Pelaksanaan 374 program nasional disokong 207 indikator utama prestasi untuk meningkatkan capaian budaya di seluruh negara.
  • Inisiatif termasuk program pelancongan budaya, asuhan kemahiran, penyelidikan, perantisan, festival teater dan panggung seni tradisional.
  • Memperkukuh perancangan strategik selaras Dasar Kebudayaan Negara 2026-2030 demi identiti nasional dan perpaduan rakyat.

Ketua Pengarahnya, Mohd Amran Mohd Haris berkata keutamaan melestarikan seni budaya harus berfokus kepada masyarakat tempatan khususnya bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Katanya sebanyak 374 program dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara merangkumi 207 indikator utama prestasi (KPI).

Antara program yang dirancang termasuk 15 program pelancongan budaya, program asuhan dan kemahiran, penyelidikan dan perantisan, festival teater zon, panggung seni tradisional serta pelbagai inisiatif lain yang mendekatkan masyarakat dengan seni dan budaya.

“Mungkin kita berdepan cabaran kekurangan pelancong asing ekoran krisis Asia Barat namun elemen seni dan budaya harus disuburkan menerusi pelbagai program dengan mengutamakan masyarakat tempatan.

“Perkara itu menjadi keutamaan supaya identiti nasional dan pembangunan seni di Malaysia terus disemarakkan sekaligus menjadi daya tarikan pihak luar. Kami terus memegang mandat dan kepercayaan diberikan untuk pelaksanaan program seni dan budaya sepanjang tahun ini dalam usaha menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Media JKKN 2025.

Tambahnya, usaha itu penting bagi memastikan seni budaya kekal subur serta menjadi identiti nasional yang unik dan jambatan perpaduan rakyat Malaysia

Mengulas lanjut beliau berkata sepanjang tahun lalu, keseluruhan program JKKN mencatatkan nilai perhubungan awam (PR) yang memberangsangkan sebanyak RM73.9 juta, jauh mengatasi nilai keseluruhan Unit Komunikasi Korporat yang berjumlah RM1 juta.

Beliau berkata, bagi tahun 2025, Anugerah Nilai PR Tertinggi keseluruhan dimenangi oleh JKKN Perlis dengan nilai RM10.8 juta, manakala Program Pelancongan Budaya Terbaik menerusi Pesta Angin Timur turut dimenangi negeri sama dengan nilai RM9.8 juta.

Selain itu, JKKN juga akan terus memperkukuh perancangan strategik selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara 2026-2030.