
KUALA LUMPUR, 24 April – Malaysia diiktiraf sebagai model global dalam pengurusan bencana apabila kepakaran negara khususnya pasukan tindak balas, menarik minat antarabangsa.
- Negara lain, termasuk Turkiye, Myanmar dan Pakistan, menghargai bantuan pasukan NADMA dan SMART.
- Penggunaan kecerdasan buatan mengurangkan masa tindak balas sehingga 30 hingga 40 peratus dan menyokong sistem amaran awal serta perancangan logistik.
- Latihan bersama dengan Rusia memperkukuh penyelarasan, kepercayaan dan kesiapsiagaan operasi merentas sempadan.
- Malaysia menjadi platform latihan antarabangsa dan bersedia memperluas kerjasama melalui latihan bersama serta perkongsian pengetahuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengiktirafan itu terserlah melalui kerjasama strategik serta penghargaan daripada komuniti antarabangsa.
“Saya merasakan Malaysia menjadi contoh kepada negara-negara lain di dalam pengurusan bencana. Jika tidak, mana mungkin pasukan dari Rusia belajar dari kita.
“Mana mungkin Turkiye memberikan penghargaan kepada kita. Myanmar memberikan penghargaan kepada kita apabila mereka menghadapi bencana, malah Pakistan juga menghargai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terutamanya pasukan SMART yang telah kita bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Resilient Asia Exposition and Forum 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam tadi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kecerdasan buatan (AI) kini memainkan peranan penting dalam mengubah landskap pengurusan bencana apabila penggunaan teknologi itu mampu mengurangkan masa tindak balas sehingga 30 hingga 40 peratus.
“Penggunaan AI dalam pengurusan bencana membolehkan peralihan daripada pendekatan reaktif kepada tindakan bersifat ramalan. Melalui analisis data sejarah, AI menyokong sistem amaran awal, meramalkan corak bencana serta memperkukuh perancangan logistik,” katanya.
Beliau berkata, latihan bersama antara Pasukan SMART Malaysia dan Rusia tahun lalu telah memperkukuh penyelarasan, kepercayaan serta kesiapsiagaan operasi merentas sempadan.
“Malaysia bukan sahaja menimba kepakaran, malah turut menjadi platform latihan antarabangsa berikutan faktor bentuk muka bumi, iklim dan pengalaman operasinya.
“Negara ini juga bersedia memperluas kerjasama dengan lebih banyak negara melalui latihan bersama dan perkongsian pengetahuan bagi memperkukuh kesiapsiagaan kolektif,” katanya.