
PUTRAJAYA, 16 April – Malaysia menghargai pendirian Australia yang menyeru penamatan konflik dan menyokong penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
- Anwar tekankan Malaysia tidak akan berganjak daripada pendirian teguh mengenai isu Palestin.
- Rakyat Palestin memerlukan penyelesaian muktamad melalui kewujudan sebuah negara berdaulat.
- Pembunuhan dan kebuluran berterusan, manakala penempatan haram di Tebing Barat berkembang dan keganasan meningkat.
- 72,336 rakyat Palestin maut sejak perang lebih dua tahun; gencatan senjata rapuh tidak dihormati, serangan terus sebabkan korban dan kecederaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian itu mencerminkan komitmen penting ke arah penyelesaian yang tuntas dan berkekalan terhadap konflik berkenaan.
Beliau turut menegaskan negara tidak akan sekali-kali berganjak daripada pendirian teguh berhubung isu Palestin.
“Pembunuhan masih belum berhenti. Kebuluran masih berterusan. Di Tebing Barat penempatan pendatang haram terus berkembang dan keganasan semakin meningkat. Dunia tidak boleh mengabaikannya dan membiarkan gencatan senjata menjadi medan pembunuhan senyap.
“Rakyat Palestin memerlukan penyelesaian muktamad yang bermaksud kewujudan sebuah negara berdaulat. Malaysia tidak akan sekali-kali berganjak dalam soal prinsip dan pendirian ini,” tegasnya pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Seramai 72,336 rakyat Palestin maut di tangan tentera Zionis sejak perang meletus lebih dua tahun yang lalu.
Malah gencatan senjata rapuh yang dimeterai pada 10 Oktober 2025 langsung tidak dihormati oleh Israel apabila kira-kira 757 rakyat Palestin maut manakala 2,111 cedera setelah negara haram itu berterusan menggempur Gaza.